PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan segala daya dan upaya sedang digembleng bagi memastikan semua aktivis dan sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), dibebaskan segera tanpa sebarang kompromi.
Menurut Perdana Menteri, beliau telah berhubung dengan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby bagi mendapatkan perkembangan terkini terkait usaha membawa pulang aktivis dan sukarelawan Malaysia, pagi tadi.
“Sebagai Penaung Utama Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara, saya turut menitipkan salam kepada keluarga delegasi Malaysia, selain meminta agar keadaan kesihatan dan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian sepenuhnya.
“Saya memberi jaminan bahawa segala daya dan upaya sedang digembleng bagi memastikan semua aktivis dan sukarelawan Malaysia dibebaskan segera tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Sani berkata, beliau dimaklumkan kerajaan sudah melaksanakan rundingan diplomatik secara maksimum bagi proses membebaskan 23 sukarelawan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan Israel, termasuk menghubungi pemimpin dari Turkiye, Qatar dan Amerika Syarikat (AS).
“Saya dihubungi Perdana Menteri, awal pagi tadi jam 8.10 pagi.
“Negosiasi diplomatik beliau dengan negara besar seperti Presiden Turkiye (Recep Tayyip Erdogan), Qatar dan menghubungi Setiausaha AS (Marco Rubio) sudah dibuat dan sedang digerakkan maksimum untuk delegasi Malaysia dibebaskan,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Sani berkata Perdana Menteri selaku Penaung Utama Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara turut bertanya khabar berkenaan keadaan keluarga delegasi dan kesihatan mereka.
“Perdana Menteri juga mohon sampaikan salam dan memberi sepenuh jaminan bahawa beliau sendiri melihat dan kerajaan Malaysia sedang laksana sehabis usaha untuk membebaskan semua delegasi kita.
“Mohon semua pendukung misi dan Gaza sama-sama kita mendoakan serta solat hajat supaya Allah mudahkan urusan ini,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

