PANDANGAN bahawa Kerajaan Persekutuan mengabaikan hak Sabah disifatkan sebagai tidak tepat kerana negeri itu menerima peruntukan tertinggi berjumlah RM17 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Kerajaan Persekutuan juga telah ‘melangsaikan’ pelbagai lagi perkara yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut Perdana Menteri, antara perkara itu adalah soal kawal selia bekalan elektrik yang telah pun diserahkan sepenuhnya kepada Sabah pada Januari 2024 di samping peruntukan RM765 juta untuk projek talian penghantaran Southern Link.
“Soal hasil RM10 bilion dan perbelanjaan RM17 bilion itu tidak bermakna kita pertikai isu hak 40 peratus.
“Umpamanya MA63 menetapkan kawal selia bekalan elektrik mesti menjadi milik Sbaah, maka kita dah serahkan pada Januari 2024.
“Walaupun jadi milik Sabah, kita (Kerajaan Persekutuan) tetap menyediakan RM1.2 bilion kerana keperluan elektrik Sabah.
“(Perkara) ini boleh dipertikaikan (ia adalah) di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan tetapi Kerajaan Persekutuan ada pilihan dan keutamaan kerana banyak negeri lain juga punyai masalah (tapi tetap diberi kepada Sabah,” katanya.
Baca artikel lain: Rayuan hanya libatkan alasan penghakiman, tidak termasuk isu 40 peratus hasil Sabah – PM
Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai rasional keputusan Kerajaan Persekutuan tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, sebaliknya dibuat ke atas alasan kecacatan dalam isu lain kes terbabit serta implikasi keputusan itu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, status Kerajaan Negeri Sabah sebagai caretaker atau kerajaan sementara ketika ini tidak menghalang rundingan mengenai pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil diperoleh dari wilayah itu diadakan bersama Kerajaan Persekutuan.
Justeru, Anwar berkata, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican sudah mengutus surat kepada Setiausaha Kerajaan Sabah, Datuk Seri Safar Utong bagi tujuan itu, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata rundingan berkenaan akan dibuat bagi perihal teknikal dan perkara berbangkit, sementara menunggu pembentukan kerajaan negeri yang baharu seusai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelak.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

