Rayuan hanya libatkan alasan penghakiman, tidak termasuk isu 40 peratus hasil Sabah – PM

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

RAYUAN yang akan dibuat Kerajaan Persekutuan hanya melibatkan kecacatan dalam alasan penghakiman mahkamah, bukannya isu hak tuntutan 40 peratus hasil bersih diperoleh dari Sabah.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri sekali lagi menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil yang diperoleh dari Sabah.

Menurut beliau, rayuan yang akan dilaksanakan itu melibatkan alasan penghakiman bahawa kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sejak 1974 bertindak secara tidak berperlembagaan.

Anwar berkata, alasan penghakiman itu mendakwa kajian semula pemberian khas yang dibuat selepas 2021 menyalahi undang-undang dan tak rasional dan malah serta mengaitkan kesilapan besar dibuat kerajaan sejak 1974.

“Alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu membawa maksud Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri terdahulu iaitu Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga sekarang dan kerajan negeri di bawah Tun Datuk Mustapha Datuk Harun, Tun Fuad Stephens sehinggalah sekarang serta Ahli Parlimen yang terbabit dalam kerajaan sejak 1974 sehingga hari ini, semuanya diputuskan sebagai terlanjut, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur serta tidak berkadaran.

“Ini satu keputusan yang sangat serius, sebab itu saya harap Ahli Parlimen baca alasan penghakiman (dibuat Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu) kerana ini berbeza. Saya tak mahu ini jadi polemik dalam isu 40 peratus (pemberian khas).

“Apakah kerajaan boleh berdiam bila kita (dituduh) bertindak ‘unconstitutional’ (tidak berperlembagaan) sejak 1974…. apakah kita boleh berdiam tanpa membatalkan rekod yang mengatakan terlanjur, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur serta tidak berkadaran.

“Ini belum pernah berlaku keputusan (dibuat) mahkamah sebegitu keras dan melibatkan seluruh kerajaan sejak 1974,” katanya.

Baca artikel lain: Isu 40 peratus hasil: Kerajaan putuskan tiada rayuan, rundingan dimulakan segera

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai rasional keputusan Kerajaan Persekutuan tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, sebaliknya dibuat ke atas alasan kecacatan dalam isu lain kes terbabit serta implikasi keputusan itu.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Peguam Negara turut memberikan nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman berkenaan.

Antaranya dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan. Dakwaan ini bakal membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri Sabah sejak 1974.

Selain itu, alasan penghakiman juga menyatakan Kajian Semula selepas 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur dan tidak berkadaran.

Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.

Perkara itu mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Penghakiman berkenaan dibuat ketika mahkamah membenarkan permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).

Hakim bersidang, Datuk Celestina Stuel Galid, mengarahkan Kerajaan Persekutuan membuat semakan kadar pemberian khas tersebut dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan pembayaran dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Jaslinda ditemui selamat berhampiran Pos Musoh

MISTERI pendaki wanita yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lalu akhirnya...

More Articles Like This