POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan secara terperinci berhubung insiden serangan terhadap anak lelaki bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos lalu.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberitahu, ia meliputi pengambilan keterangan daripada beberapa orang saksi dan individu berkaitan selain pengumpulan serta analisis bukti-bukti.
Ini katanya, termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan kawasan sekitarnya.
“PDRM telah membuka kertas siasatan berhubung insiden itu di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 352 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
KDN menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) mengenai hasil siasatan atau perkembangan terkini berhubung kes serangan ke atas anak Ahli Parlimen Pandan itu.
Kementerian itu menambah, pihak PDRM komited untuk melaksanakannya secara profesional mengikut prosedur undang-undang.
“Kementerian memberi jaminan bahawa sebarang perkembangan akan dimaklumkan sewajarnya apabila siasatan telah selesai.
“Kerajaan ingin menegaskan bahawa sebarang bentuk keganasan dan jenayah dipandang serius tanpa mengira latar belakang mangsa, dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang terlibat sekiranya terbukti bersalah,” katanya.
Insiden pada 13 Ogos lalu menyaksikan anak lelaki tunggal Rafizi berusia 12 tahun diserang seorang individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

