PENYANYI bersuara lunak, Adira Suhaimi kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan single terbaharu berjudul Gelas Memori, sebuah karya balada emosional yang diperkaya dengan sentuhan rap puitis daripada rapper penuh misteri yang semakin berpengaruh, Fiq7.
Lagu yang diterbitkan oleh Nova Music dan Rhunut Music itu menampilkan komposisi dan lirik sepenuhnya oleh Fiq7, manakala Mas Dewangga bertindak sebagai penerbit, penyusun, jurumix dan jurumastering.
Gelas Memori membawa gabungan balada lembut dengan rap yang mendalam, sebuah formula baharu yang jarang diteroka dalam muzik komersial tempatan.

Mengangkat tema rindu, kehilangan dan janji yang tidak pernah padam, setiap baris lirik bagaikan helaian kenangan yang kembali hidup.
Keseimbangan antara vokal syahdu Adira dan rap puitis Fiq7 menjadikan karya ini sarat rasa namun tetap mudah dicerna.
Berkongsi pengalaman merakam lagu tersebut, Adira mengakui Gelas Memori menghadirkan cabaran dan perspektif baharu terhadap penghayatannya.
“Apabila saya dengar demo lagu ini, saya terus tertarik.
“Ia bukan sekadar lagu cinta, ia kisah bagaimana kenangan boleh menjadi kekuatan,” katanya.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu-lagu hit seperti Ombak Rindu, Takdir Tercipta dan Pujaan Hati itu, kerjasama dengan Fiq7 membuka ruang untuk dirinya meneroka sisi muzik yang berbeza.
“Gaya rap Fiq7 sangat puitis dan jujur. Ia membuatkan saya lebih terinspirasi untuk memberi nyawa kepada bahagian balada.
“Walaupun kami dari dua dunia muzik berlainan, emosi yang ingin disampaikan tetap sama,” ujarnya.
Fenomena digital yang mencatat jutaan tontonan di YouTube melalui lagu-lagu seperti Puisi Malam (8.5 juta), Rindu Tak Terucap (6.6 juta) dan Restu (1.6 juta), Fiq7 menyifatkan Gelas Memori sebagai karya paling peribadinya setakat ini.
“Saya menulis lagu ini ketika melalui fasa hidup yang penuh ujian.
“Setiap baris lirik adalah refleksi kepada kehilangan, penyesalan dan kekuatan untuk terus berdiri,” kongsi Fiq7.
Dikenali kerana tidak pernah mendedahkan wajahnya secara terbuka, Fiq7 kekal dengan prinsipnya.
“Saya mahu pendengar fokus kepada mesej lagu, bukan identiti saya.
“Dalam Gelas Memori, saya gabungkan rap jalanan dengan bahasa sastera. Saya mahu rap yang ada jiwa,” ujarnya.
Gelas Memori bukan sekadar kolaborasi dua artis, tetapi pertembungan dua generasi muzik, Adira sebagai figura mantap industri, manakala Fiq7 mewakili gelombang kreatif era digital.
Dengan sentuhan penggayaan muzik oleh Mas Dewangga, lagu ini menggabungkan elemen moden dan klasik tanpa mengorbankan emosi yang menjadi nadi kepada keseluruhan karya.
Simbolisme ‘gelas’ dalam lagu ini membawa makna mendalam, wadah yang menampung segala memori, rasa, luka dan kekuatan yang tersimpan sepanjang perjalanan hidup.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

