PRN Sabah: Ada beberapa muka yang sepatutnya sudah bersara

Dari Penulis

MELIHATKAN kepada perjalanan pemilihan, penamaan calon, tempoh berkempen dan sehingga keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 tempoh hari, sejujurnya bagi saya, banyak benda yang perlu ‘dibedah siasat’ oleh mana-mana parti bertanding.

Paling utama, faktor calon.

Saya pernah ditugaskan di Sabah kira-kira 10 tahun lalu, ketika itu Tun (dahulunya Datuk Seri Panglima) Musa Aman masih menjadi Ketua Menteri Sabah. Dari Sri Gaya, beliau kini berada di Istana Seri Kinabalu, menaungi Sabah, Negeri di Bawah Bayu yang begitu menakjubkan ini.

Sekitar 10 tahun lalu inilah, kebanyakan mereka yang di Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahupun Warisan, masih duduk di bawah satu bumbung iaitu Barisan Nasional (BN).

Melangkaui waktu, tiba di majlis pengumuman calon yang akan bertanding mewakili parti masing-masing baru-baru ini, saya agak kecewa kerana masih ada muka-muka yang pernah saya temui 10 tahun lalu, diketengahkan sekali lagi di pentas demokrasi politik ini.

Garisan penamat dunia politik

Sekali lagi, sejujurnya, saya merasakan mereka ini sudah berada di garisan penamat dalam dunia politik. Beri peluang pula kepada anak-anak muda berbakti.

Ada yang (bagi saya) agak keterlaluan ketika bercakap soal diri yang ‘pasti manang’ (menang) dalam PRN.

Ada pula yang sudah ke parti itu parti ini, masih dicalonkan. Dan, ada yang sudah tahu dia akan ditolak pengundi, tetapi merasakan perlu bertanding.

Ada pula yang sudah pernah memegang jawatan baik di peringkat negeri mahupun Pusat, juga masih juga mahu bertanding. Apa lagi yang hendak dikejarkan?

Oleh sebab itu, perkara ini perlu ‘dibedah siasat’ terutama bagaimana ada parti yang boleh tewas kepada calon Bebas, yang kalah kepada calon muda, juga yang hampir tewas, maksudnya majoriti kecil.

Tetapi ada juga calon-calon muda yang tewas? Persoalan ini perlu kembali kepada diri sendiri, bagaimana mereka ini ketika berdepan dengan masyarakat, aspek komunikasi.

Aspek komunikasi ini, calon yang sudah berpengalaman pun tewas kerananya. Komunikasi ini umum, bagaimana berdepan dengan pengundi, bagaimana mendepani soalan-soalan media begitu juga komunikasi dengan jentera.

Jika gagal aspek ini, hadir dengan pakej yang sombong, meninggi diri, tewaslah jadinya.

Dan, jauh daripada segala yang ada ini, khususnya penyandang, tanganilah permasalahan rakyat dengan jujur.

Kualiti jalan raya yang sering dijadikan bahan tular di media sosial, bekalan air bersih, bekalan elektrik yang stabil, peluang pekerjaan untuk anak muda. Semuanya ini penting untuk ditangani sebaik-baiknya.

Jujurlah dalam berkhidmat kepada rakyat.

Kepada yang menang, kerusi yang dimenangi itu tak akan kekal lama, PRN akan datang mungkin ‘beralun’ ke pentas yang lain pula. Sekali lagi, jujurlah mendepani rakyat, bukan sekadar mencari keuntungan sendiri semata-mata.

Pentingnya, jangan jadi penyakau. Jangan sombong, jangan sekadar nampak di kawasan ketika musim berkempen.

Metra Syahril Mohamed ialah Ketua Pengarang UtusanTV


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Pas perlu patuh arahan, perkukuh gerak kerja hadapi pilihan raya – Ahmad Samsuri

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan seluruh jentera Pas supaya mengutamakan disiplin, mematuhi arahan...

More Articles Like This