SEORANG pemandu lori ditahan selepas enggan memberhentikan lori yang dipandunya sebelum memandu melawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) semata-mata mahu melarikan diri daripada pemeriksaan polis, awal pagi tadi.
Kejadian tersebut turut tular di laman Instagram sejak pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin memaklumkan, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor telah menerima panggilan daripada sebuah unit kereta peronda (MPV) pada pukul 5.35 pagi tadi.
Menurut Ibrahim, MPV polis itu memaklumkan sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso enggan memberhentikan kenderaan ketika cuba diperiksa.
Beliau berkata, pemandu lori tersebut telah memandu keluar ke arah Lebuhraya PLUS melalui Plaza Tol Bukit Beruntung.
“Pemandu tersebut telah bertindak memandu melawan arus bermula dari Plaza Tol Bukit Beruntung sehingga Plaza Tol Sungai Buloh dan berpatah balik ke Plaza Tol Bukit Beruntung.
“Suspek juga telah memandu secara berbahaya serta cuba melanggar MPV polis itu semasa anggota sedang cuba memberhentikan lori tersebut di kawasan berhampiran Plaza Tol Bukit Beruntung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Anggota polis hilang kereta terbabas dalam parit di Sepang ditemukan lemas
Mengulas lanjut, Ibrahim memberitahu, tindakan pantas MPV polis itu telah membawa kepada penahanan suspek di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung.
Katanya, semakan rekod ke atas suspek berusia 40 tahun itu mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod kesalahan lampau melibatkan dadah dan satu rekod kesalahan jenayah.
“Ujian air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis syabu atau methamphetamine.
“Suspek akan dibawa ke hadapan Majistret Kuala Kubu Bharu, esok pada pukul 9 pagi untuk dipohon reman,” katanya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan; Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

