JUMLAH hutang Persekutuan yang direkodkan sehingga akhir September 2025 adalah berjumlah RM1.1315 trilion, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Begitupun, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, kedudukan jumlah hutang itu masih berada dalam had undang-undang dan terkawal.
Jelas beliau, hutang statutori kini 64 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu masih di bawah had siling 65 peratus, manakala hutang luar pesisir pula bernilai RM22.4 bilion, jauh di bawah paras 35 peratus yang dibenarkan.
“Selain itu, bil perbendaharaan juga berada pada paras sihat pada RM4 bilion, berbanding had maksimum RM10 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syahredzan Johan (PH–Bangi) yang ingin mengetahui jumlah terkini hutang negara serta prinsip kerajaan dalam mengurangkan pinjaman baharu di Dewan Rakyat hari ini.
Baca artikel lain: Bergaduh sebab hutang tatu RM120 hingga rosakkan kereta guna batang ekzos, polis tahan empat lelaki
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan berjaya mengurangkan kebergantungan terhadap hutang baharu dengan pinjaman tahunan menurun daripada RM100 bilion pada 2021 kepada RM70 hingga RM75 bilion pada 2025.
Perkara itu menurut Anwar sekaligus menunjukkan disiplin fiskal yang semakin kukuh.
Katanya, pengurangan hampir RM30 bilion itu membuktikan usaha kerajaan menstruktur semula perbelanjaan, menutup ketirisan dan memperkemas keutamaan pembangunan negara.
“Ini kadar pengurangan yang ketara dan membuktikan disiplin fiskal yang kita laksanakan mula menunjukkan hasil tetapi isu besar kita ialah tanggungan hutang dan obligasi yang harus kita tunaikan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, komponen hutang paling membebankan kerajaan ketika ini masih berpunca daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya, jumlah keseluruhan komitmen 1MDB menghampiri RM50 bilion, dengan kerajaan setakat ini telah membayar RM42 bilion bagi prinsipal dan faedah.
“Daripada jumlah itu, kerajaan hanya berjaya memperoleh semula RM29 bilion hasil pemulangan aset dan penyitaan, menyaksikan tanggungan bersih sekitar RM13 bilion yang masih perlu ditanggung,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

