RUNDINGAN pembatasan sempadan maritim di antara Malaysia dan Singapura kini sedang diteruskan bagi mengekalkan momentum rundingan positif dalam mencari jalan penyelesaian yang boleh diterima bersama.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memberitahu, aspek-aspek teknikal dan undang-undang antarabangsa berkaitan persempadanan maritim menjadi asas dalam usaha mencari jalan penyelesaian yang adil dan saksama bagi kedua-dua pihak.
“Kementerian Luar Negeri, selaku agensi peneraju rundingan dua hala bagi membincangkan isu-isu pembatasan sempadan maritim dengan Singapura, bersama-sama agensi-agensi kerajaan berkaitan sentiasa memantau dan meneliti perkembangan semasa serta mengkaji tindakan-tindakan yang boleh diambil dari pelbagai aspek, termasuk berdasarkan undang-undang antarabangsa dan hubungan diplomatik dua hala,” jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai perancangan dan tindakan susulan yang sedang diambil oleh kerajaan berhubung kes Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) termasuk langkah diplomatik, undang-undang serta rundingan dua hala dengan Singapura bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan maritim negara terus terpelihara.
Wisma Putra berkata, kedua-dua negara telah memulakan mesyuarat mengenai persempadanan maritim dari tahun 2020 bagi kawasan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Perbincangan di platform lain
Jelasnya, isu-isu pembatasan sempadanan maritim antara Malaysia dan Singapura, termasuk bagi perairan di sekitar Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan turut dibincangkan di bawah platform-platform lain.
Antaranya melalui Joint Meeting of the Malaysia-Singapore Joint Technical Committee on the Implementation of the International Court of Justice Judgment on Pedra Branca, Middle Rocks and South Ledge (MSJTC) dan the Committee for Boundary Delimitation Pursuant to the Agreement between the Foreign Ministers of Singapore and Malaysia (CBD) yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Malaysia dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Negeri Singapura.
Wisma Putra memaklumkan, lain-lain platform termasuk Joint Meeting of the Sub-Committee on Maritime Boundary Delimitation of Pedra Branca, Middle Rocks and South Ledge and Sub-Committee on Maritime Boundary Delimitation yang diketuai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim, Kementerian Luar Negeri dan Peguam Cara Negara dan Ketua Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Peguam Negara Republik Singapura.
“Kedua-dua mekanisme tersebut adalah diterajui oleh Kementerian Luar Negeri.
“Kementerian Luar Negeri ingin menegaskan pasukan rundingan persempadanan maritim Malaysia yang terdiri daripada kementerian dan agensi iaitu Kementerian Luar Negeri; Kementerian Pertahanan; Majlis Keselamatan Negara; Jabatan Peguam Negara; Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia; Pusat Hidrografi Nasional dan Jabatan Laut Malaysia dan Kerajaan Negeri Johor sentiasa komited dalam memastikan kedaulatan dan hak kedaulatan serta kepentingan negara terpelihara dalam semua rundingan-rundingan yang diadakan,” katanya.
Tambah Wisma Putra, semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong serta Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 di Putrajaya pada 6 dan 7 Januari 2025, kedua-dua negara komited untuk meneruskan rundingan berkaitan isu persempadanan maritim dan berharap agar isu ini dapat diselesaikan.

