PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang tuntutan melibatkan isu bahasa, agama dan kaum perlu mengambil kira kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, kerajaan mempertahankan prinsip asas negara, termasuk martabat Bahasa Melayu yang perlu terus diangkat sebagai bahasa ilmu dan perpaduan nasional.
“Kebelakangan ini, ada pelbagai suara yang membuat tuntutan berkaitan bahasa. Ada yang mahu menekankan penggunaan bahasa Inggeris, ada juga yang menuntut pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
“Saya nak jelaskan begini. Ini Malaysia. Bahasa Melayu bahasa rasmi dan siapa pun dalam percubaan mereka untuk membawa mesej sesuatu bahasa, mesti ingat bahawa bahasa rasmi Bahasa Melayu harus diangkat sebagai bahasa ilmu yang dikuasai oleh semua rakyat Malaysia. Yang itu kita noktahkan, jelaskan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur al-Hidayah, Kuah.
Baca artikel lain: AS pertimbang permintaan ekstradisi Leissner untuk dibicarakan di Malaysia – AGC
Anwar menekankan bahawa penguasaan Bahasa Melayu perlu diperkukuh terlebih dahulu sebelum sebarang cadangan untuk memperkasa bahasa lain atau mengiktiraf sistem pendidikan alternatif seperti UEC dibincangkan.
Menurut beliau, Bahasa Melayu perlu dimartabatkan sebagai bahasa ilmu, termasuk dalam bidang teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI), agar ia kekal relevan dan menjadi medium utama dalam pembangunan negara.
“Kalau perkara asas ini sudah jelas dan dilaksanakan, barulah kita boleh bincang soal keperluan meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris atau pengiktirafan UEC.
“Saya tidak menolak kepentingan bahasa lain, tetapi keutamaan tetap kepada Bahasa Melayu,” katanya.
Anwar turut mengingatkan bahawa sebarang cadangan yang hanya menumpukan kepada satu bahasa atau satu kaum tanpa mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan boleh menimbulkan ketegangan dan menggugat keharmonian masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam mengemukakan sebarang tuntutan, dengan memastikan ia selari dengan semangat Perlembagaan dan tidak mengabaikan kepentingan nasional.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dilaporkan akan bertemu Perdana Menteri bagi membincangkan isu pengiktirafan UEC.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

