EMPAT lelaki ditahan selepas bertindak menghalang sepasukan pegawai polis menjalankan tugas untuk memberkas seorang suspek berkaitan siasatan kes kecederaan dan penderaan kanak-kanak yang telah dilaporkan sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya mengesahkan telah menerima satu laporan berhubung kes berkenaan yang berlaku pada pukul 6.45 petang semalam di Telipok.
“Siasatan awal mendapati beberapa individu telah bertindak menghalang kenderaan polis, mengeluarkan kata-kata kesat, cuba membuka pintu kenderaan serta menendang dan memukul kenderaan berkenaan sehingga menjejaskan tugas polis.
“Pihak polis telah membuat tangkapan ke atas empat rang lelaki tempatan berusia sekitar 30 hingga 50-an dan merampas sebatang besi golf yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Kasim memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Jelas beliau, pihak polis akan memohon reman ke atas kesemua suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, menjalankan ujian saringan air kencing serta merakam percakapan saksi-saksi kejadian.
“Orang awam dinasihatkan agar tidak bertindak mengikut perasaan, bertenang serta memberi kerjasama penuh kepada pihak polis. Sebarang ketidakpuasan hati hendaklah disalurkan melalui saluran undang-undang yang betul.
“Polis memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang demi menjaga keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya.
Terdahulu polis menahan seorang lelaki warga tempatan disyaki terlibat penderaan terhadap kanak-kanak dan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.
Ini selepas polis laporan berhubung kejadian itu yang tular menerusi rakaman video di media sosial.
Kejadian dilaporkan berlaku pada 14 Disember lalu, kira-kira pukul 11.55 malam di sebuah premis perniagaan sekitar Kota Kinabalu.
Ia melibatkan sekumpulan pelajar sebuah madrasah dan seorang lelaki dewasa.
Rakaman menunjukkan beberapa individu dipukul seorang lelaki menggunakan topi keledar.

