KENDERAAN jenis Honda Jazz yang merempuh kereta Perodua Viva dipandu seorang penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sehingga maut di Kuala Terengganu, semalam disahkan bukan kenderaan curi.
Perkembangan baharu itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azli, Honda Jazz yang dipandu suspek itu adalah milik adiknya sendiri dan bukannya kenderaan curi seperti ditularkan di media sosial.
“Semakan pemilik kenderaan telah dibuat melalui rekod pemilikan kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya dalam kenyataan itu.
Suspek disahkan hidap Major Depressive Disorder
Mengulas lanjut, Azli mendedahkan, suspek lelaki berusia 32 tahun itu juga mempunyai rekod rawatan psikiatri dan disahkan menghidap Major Depressive Disorder (MDD) sejak Januari lalu.
Beliau berkata, hasil semakan rekod rawatan mendapati suspek telah beberapa kali mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Malah, katanya, sebelum kemalangan kira-kira pukul 1.45 petang itu, suspek telah menceroboh masuk ke dalam sebuah kenderaan jenis Honda City yang diparkir di Stadium Darul Iman, Kuala Terengganu.
“Lelaki itu dikesan telah mencuri beberapa barangan termasuk wang tunai sebanyak RM200 milik pemilik kenderaan itu seperti mana dalam laporan polis.
“Suspek seterusnya masuk semula ke dalam Honda Jazz sebelum memecut kenderaan sehingga berlaku kemalangan di persimpangan Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu,” katanya.
Suspek tidak meninggal dunia, alami patah tangan kanan
Azli berkata, maklumat tular sebelum ini mengatakan suspek meninggal dunia adalah tidak benar kerana lelaki tersebut mengalami kecederaan patah tangan kanan serta luka di badan dan masih menerima rawatan di HSNZ.
“Keadaan suspek stabil cuma perlu jalani pembedahan pada tangan kerana kecederaan dialami agak teruk,” jelasnya.
Baca artikel lain: Dua maut Nissan GT-R rempuh Picanto, dua Axia di Johor Jaya
Sehubungan itu, beliau berkata, suspek akan ditahan bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.
Dalam perkembangan sama, polis menegaskan orang ramai diminta menghentikan sebarang spekulasi serta penyebaran maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut.
Semalam, seorang penuntut UniSZA maut dalam kemalangan ngeri membabitkan dua kenderaan di simpang empat Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu.
Nahas itu menyebabkan mangsa, Syakirah Hanan Mazli, 25, tersepit dalam kereta jenis Perodua Viva dipandunya sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kejadian berlaku apabila Syakirah Hanan yang juga Pelajar Semester 2, Diploma Pascasiswazah Pendidikan di Fakulti Pengajian Islam Kontemporari UniSZA dikatakan dalam perjalanan ke Jalan Bukit Kecil dan membelok ke kanan selepas lampu isyarat bertukar hijau di simpang empat itu.
Bagaimanapun pada masa sama, seorang pemandu lelaki didakwa memecut Honda Jazz yang sedang menuruni jalan berbukit dari arah bandar raya ini sehingga melanggar lampu isyarat merah lalu merempuh kenderaan mangsa.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

