“MUNGKIN sudah tiba masanya untuk mengundur diri.”
Itu kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh seolah-olah memberi bayangan mahu meletakkan jawatan.
Bayangan diberikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu selepas dua usul yang dibawa dalam Konvensyen Khas Pemuda UMNO, baru-baru ini.
Dua usul berkenaan ialah supaya UMNO kembali bekerjasama dengan Pas dan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan serta berperanan sebagai pembangkang.
Dalam hantaran di Facebook, Dr Muhamad Akmal turut menyifatkan telah melakukan sedaya upaya dan berusaha menyampaikan apa yang terdaya.
Bagaimanapun, kata beliau, sebarang kekurangan mungkin terletak pada dirinya sendiri.
“Kita dah usaha sehabis baik, kita dah sampaikan sehabis baik. Mungkin kelemahan datang dari diri saya sendiri,” katanya dalam hantaran tersebut.
Baca artikel lain: ‘Tarik sahaja sokongan daripada kerajaan’, Akmal berang Bee Yin ‘rai’ hukuman Najib
Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal yang juga EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka turut mengucapkan terima kasih kepada para penyokong atas suara dan sokongan mereka terhadap perjuangan itu.
“Saya percaya jika niat kita baik demi agama, bangsa dan tanah air, Insya-Allah waktunya akan sampai jua,” katanya.
UtusanTV telah menghubungi Dr Muhamad Akmal untuk mendapatkan penjelasan lanjut, namun pesanan WhatsApp yang dihantar masih belum maklum balas setakat ini.
Semalam, Dr Muhamad Akmal merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kesediaan meneliti kerjasama politik susulan beberapa usul yang dibangkitkan pada Konvensyen Khas Pemuda minggu lalu.
Beliau berkata, parti boleh memulakan langkah dengan meneliti bentuk kerjasama yang sesuai demi penyatuan orang Melayu dan menyifatkan masa ini sebagai waktu yang tepat untuk memulakan usaha berkenaan.
Sebelum ini, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa Dr Muhamad Akmal supaya segera meletak jawatan sebagai Exco dan melaksanakan pendirian beliau untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

