UPACARA meletakkan kalungan bunga di makam pengasas Turkiye, Mustafa Kemal Ataturk merupakan sebahagian protokol yang perlu diikuti setiap ketua kerajaan yang mengadakan lawatan rasmi ke negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan, upacara di makam Mustafa Kemal itu bukanlah pilihan peribadi atau mengandungi sebarang mesej politik.
Walaupun secara peribadi tidak sependapat dengan beberapa dasar dibuat Mustafa Kemal, Anwar berkata, beliau menghormati setiap protokol rasmi yang telah ditetapkan.
“Semua ketua negara yang mengadakan kunjungan rasmi ke Turkiye dikehendaki melakukan upacara tersebut.
“Ini rangkaian program yang ditetapkan. Parti mana pun memerintah di Turkiye, itulah perintahnya.
“Pemimpin mana pun dari Malaysia yang datang untuk kunjungan rasmi. Semua Perdana Menteri yang pernah datang ke sini dulu, baik Tun Dr Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Najib (Tun Razak) (dan) saya, terpaksa melakukan upacara tersebut,” katanya.
Rakaman video sidang media bersama media Malaysia pada hari terakhir lawatan rasmi ke Turkiye itu turut dimuat naik ke laman Facebook Anwar.
Baca artikel lain: RUU had tempoh PM: Keberkesanan bergantung pada reka bentuk perundangan
Kebangkitan Mustafa Kemal selepas kejatuhan Empayar Uthmaniah
Perdana Menteri menjelaskan, kebangkitan Mustafa Kemal yang digelar Ataturk oleh rakyat Turkiye bermula selepas kejatuhan Empayar Uthmaniah susulan Perang Dunia Pertama.
Beliau menjelaskan, pada ketika itu, kuasa bersekutu seperti Greece, Britain dan Perancis berusaha memecah-belahkan wilayah Uthmaniyah melalui perjanjian yang dimeterai pada 1920 dan 1923.
Katanya, rakyat Turkiye melihat Mustafa Kemal sebagai seorang wira yang berjaya membebaskan negara mereka daripada percubaan dijajah.
Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan, beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan beberapa keputusan dan dasar Ataturk yang berkaitan dengan Islam, termasuk isu perubahan bahasa azan, tulisan serta aspek pentadbiran.
Namun, katanya, perbezaan pandangan tersebut tidak boleh menafikan sumbangan besar tokoh itu dalam mempertahankan kedaulatan Turkiye.
“Ada dasar dan keputusan beliau yang saya tidak setuju dan tidak selari dengan pendirian saya, tetapi sumbangan beliau dalam menyelamatkan negara itu daripada dijajah tidak boleh dipadamkan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

