TUNTUTAN Parti Amanah Negara (Amanah) supaya pengagihan kerusi yang kononnya lebih adil dibuat tanpa mengguna pakai formula ‘penyandang’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor disifatkan amat pelik.
Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon berkata, hal ini kerana ‘abang sulung’ Amanah dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP yang begitu taksub mempertahankan formula ‘penyandang’ itu.
Menurut Tian Soon, kehadiran Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan bukan untuk menganiayai sesiapa termasuk Amanah.
sebaliknya, kata beliau, BN sekadar mahu menstabilkan politik negara dan menamatkan krisis Parlimen tergantung kerana akur serta menjunjung titah diraja pada ketika itu.
“Amanah sebenarnya tidak perlu berlagak mangsa untuk mendapat lebih banyak kerusi tetapi boleh mencapai hasrat itu dengan meminta PH meletakkan calonnya termasuk dari Amanah untuk bertanding di semua kerusi.
“Ia bukanlah perkara luar biasa kerana sudah ada duluan atau precedent suatu ketika dahulu apabila parti-parti yang membentuk kerajaan pusat berlawan sesama sendiri dalam PRN Melaka dan Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: MCA perlu bina kekuatan dari dalam sebelum ‘berperang’
Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, kaedah atau formula apa sekali pun yang digunakan dalam pembahagian kerusi tentu akan ada pihak yang tidak berpuas hati.
Beliau menegaskan, pertikaian agihan kerusi antara PH dan BN akan terus berlarutan sekiranya kerjasama politik terus dijalinkan.
“Bukan setakat dalam PRN Melaka dan Johor tetapi juga dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16). Ini hanya akan merugikan BN.
“Justeru, Pemuda MCA mengajak semua parti komponen supaya segera memperkukuh BN dan sedia bertempur menghadapi sesiapa sahaja dalam mana-mana pilihan raya, besar atau kecil, dekat atau jauh,” katanya.
Semalam, Amanah menuntut agar rundingan pembahagian kerusi bagi PRN Melaka dan Johor dilakukan secara seimbang dan adil antara PH serta BN selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, landskap politik semasa di Melaka dan Johor menyaksikan kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai oleh wakil BN susulan perkembangan politik sebelum ini.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

