BEBERAPA pegawai tentera sudah dipanggil pihak polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyebaran maklumat sulit berkaitan kenaikan pangkat pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mereka dipanggil susulan Kementerian Pertahanan (MINDEF) membuat laporan polis berhubung kebocoran maklumat itu minggu lalu.
“Kita sudah laporkan kepada pihak polis, siasatan itu perlu dilakukan oleh polis. Polis sudah pun memanggil beberapa pegawai untuk ditemuramah, disiasat dan sebagainya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan penyebaran maklumat sulit mengenai pertukaran pegawai ATM membabitkan nama dan jawatan.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, setakat ini siasatan masih dijalankan dan pihaknya menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada pihak berkuasa.
“Setakat ini, polis masih lagi menjalankan siasatan dan saya percaya apabila ia selesai, tentunya tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai jumlah individu yang dipanggil berikutan siasatan masih berjalan.
Terdahulu, beliau melakukan lawatan kerja ke Kem Terendak, Sungai Udang dengan menyampaikan 3,270 unit komputer riba sumbangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada 38 Sekolah Dalam Kem (SDK) ATM di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak.
Penyerahan diberikan kepada wakil dari lima SDK di Kem Terendak dan Kem Sungai Udang iaitu MRSM Terendak, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak, Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak 1, SK Kem Terendak 2 dan SK Kem Gerak Khas bagi memperkasakan pendidikan digital dan pemerkasaan SDK.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

