MALAYSIA tidak terlibat, tidak menyertai dan tidak menyokong Abraham Accords atau mana-mana inisiatif yang membawa kepada normalisasi hubungan dengan rejim zionis.
Demikian pendirian rasmi kerajaan, jelas dan konsisten, ditegaskan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) selagi rejim tersebut terus menduduki wilayah Palestin dan menafikan hak asasi serta kedaulatan rakyat Palestin.
“Malaysia kekal berpegang kepada prinsip bahawa penyelesaian adil dan berkekalan terhadap konflik Israel-Palestin hanya boleh dicapai melalui penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.
“Ini berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara, selaras dengan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa,” jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Wisma Putra menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) mengenai pendirian rasmi kerajaan terhadap gagasan Abraham Accords yang dipelopori Amerika Syarikat dan Israel.
Jelas Wisma Putra, segala dasar dan tindakan kerajaan dalam hal ehwal luar negara sentiasa berteraskan prinsip keadilan sejagat, kedaulatan undang-undang antarabangsa serta sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Malaysia katanya, akan terus memainkan peranan aktif di peringkat antarabangsa, termasuk melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), PBB dan forum pelbagai hala lain.
“Ia bagi memperjuangkan hak rakyat Palestin serta menentang sebarang usaha yang bercanggah dengan prinsip keadilan dan keamanan sejagat,” tambahnya.

