SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius penyebaran naratif palsu dan berunsur isu agama, institusi diraja dan kaum (3R) di media sosial berhubung insiden kemalangan yang tular di Selangor baru-baru ini.
Menurut MCMC, ia telah dimanipulasi sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam.
“MCMC merujuk kepada kenyataan rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor yang mengesahkan bahawa insiden tersebut berpunca daripada perselisihan faham peribadi berkaitan isu tanah dan laluan serta tidak melibatkan unsur gangsterisme atau perkauman.
“Justeru, sebarang cubaan mengaitkannya dengan isu 3R adalah tidak bertanggungjawab dan mengelirukan,” jelasnya.
MCMC memberitahu, analisis pihaknya mengesan elemen tingkah laku tidak autentik secara terselaras (CIB) apabila kandungan sama disebarkan berulang kali di Facebook dan TikTok dalam tempoh singkat bagi memanipulasi persepsi awam.
Katanya, naratif sensasi dan pelabelan berunsur perkauman yang ditokok tambah adalah serius dan berpotensi mengancam ketenteraman awam.
“Setakat ini, 40 akaun Facebook dan 10 akaun TikTok sedang diteliti bagi membantu siasatan. MCMC tidak akan berkompromi dengan penyebaran kandungan palsu atau menghasut kebencian.
“Dalam hal ini, Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 melarang penyebaran atau penerbitan kandungan yang antara lain, bersifat palsu, mengancam atau jelik melampau dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain,” katanya.
Katanya, siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 233 sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.
Orang ramai jelasnya, dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan sentiasa merujuk kepada kenyataan rasmi pihak berkuasa.

