Notis Kesan Individu terhadap anak Tun Daim bukan satu bentuk hukuman

Dari Penulis

NOTIS Kesan Individu yang dikeluarkan terhadap empat anak Allahyarham Tun Daim Zainuddin bukan satu bentuk hukuman atau ‘Wanted List’.

Demikian ditegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ia juga bukan bertujuan untuk memalukan mana-mana pihak, sebaliknya merupakan mekanisme prosedural bagi mengesan dan memastikan kehadiran membantu siasatan.

Malah katanya, notis dikeluarkan sebagai tindakan susulan yang sah di sisi undang-undang berikutan kegagalan memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi yang telah diserahkan sebelum ini.

“Tindakan ini diambil setelah pelbagai ruang dan tempoh munasabah telah diberikan, termasuk lanjutan masa sebelum ini.

“SPRM menegaskan bahawa semua individu adalah tertakluk kepada prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) dan dilayan secara adil tanpa mengira latar belakang atau kedudukan,” jelasnya dalam kenyataan.

Untuk itu SPRM menyeru keempat-empat individu berkenaan supaya tampil hadir ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya dengan segera bagi membantu siasatan dan mengelakkan sebarang tindakan lanjut menurut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

SPRM jelasnya, kekal komited untuk menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan berintegriti demi kepentingan negara.

Kronologi Op Godfather

Secara kronologinya jelas SPRM, siasatan di bawah Op Godfather yang dijalankan mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 bermula susulan pendedahan Pandora Papers pada 2021 oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ).

Ia mendedahkan kewujudan syarikat dan aset luar pesisir yang dikaitkan dengan Allahyarham Tun Che Abdul Daim Zainuddin (Tun Daim), ahli keluarga serta sekutu perniagaan beliau.

Maklumat tersebut menjadi asas kepada risikan awal dan pembukaan kertas siasatan oleh SPRM pada 2023.

Sepanjang tempoh Jun 2023 hingga November 2023, SPRM telah menyerahkan notis-notis di bawah Seksyen 36(1)(a) dan 36(1)(b) Akta SPRM 2009 kepada Allahyarham Tun Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan anak-anak mereka bagi tujuan pengisytiharan harta.

Sepanjang tempoh pematuhan notis di bawah Seksyen 36(1)(a) dan Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009, SPRM telah memberikan lima kali lanjutan masa selain tempoh notis asal bertarikh 7 Jun 2023.

Lanjutan masa pertama dipohon pada 6 Julai 2023; lanjutan masa kedua pada 10 Ogos 2023; lanjutan masa ketiga pada 11 September 2023; lanjutan masa keempat pada 11 Oktober 2023; dan lanjutan masa kelima pada 14 November 2023.

SPRM telah memaklumkan lanjutan kelima tersebut adalah lanjutan terakhir. Secara keseluruhannya, tempoh yang diberikan untuk pematuhan adalah selama enam (6) bulan.

Walau bagaimanapun, hasil semakan dan analisis terhadap maklumat yang dikemukakan mendapati masih terdapat kegagalan dan ketidakpatuhan dalam pengisytiharan beberapa aset sebagaimana dikehendaki di bawah notis tersebut.

Susulan itu, pada 23 Januari 2024, Toh Puan Na’imah telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009. Pada 29 Januari 2024, Allahyarham Tun Daim turut dituduh di mahkamah atas kesalahan yang sama.

Perkembangan baharu siasatan

SPRM memberitahu, Pada 20 November 2025, SPRM membuka enam laporan baharu di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 terhadap beberapa individu susulan maklumat tambahan daripada agensi penguatkuasaan luar negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat dan Singapura.

Hasil siasatan katanya, memdapati individu-individu tersebut gagal mematuhi sepenuhnya keperluan notis, termasuk ketidakpatuhan dalam mengisytiharkan aset bernilai tinggi serta akaun bank.

“Oleh itu, enam kertas siasatan telah dibuka terhadap Na’imah binti Abdul Khalid, Josephine Premla Sivaretnam dan empat anak Allahyarham Tun Daim iaitu Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin.

“Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 kerana gagal mengisytiharkan aset secara menyeluruh.

Pada 13 Februari 2026, Notis Menghadiri Pemeriksaan di bawah Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 telah diserahkan melalui firma guaman Tetuan Zharif Nizamuddin,” katanya.

SPRM turut menerima permohonan lanjutan masa daripada pihak peguam pada 16 Februari 2026.

Sehubungan itu, SPRM telah memberi kata putus untuk penama-penama hadir ke pejabat SPRM pada 11 Mac 2026.

“Akan tetapi, sehingga 26 Februari 2026, tiada maklum balas diterima dan usaha menghubungi penama juga tidak berjaya. Pihak peguam sebelum ini memaklumkan bahawa anak guam mereka berada di luar negara dan mereka juga menghadapi masalah untuk berhubung dengan mereka.

“Berdasarkan maklumat terkini, SPRM percaya tiga individu berada di luar negara manakala seorang berada dalam negara,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Akses portal 2 Ahli Parlimen PKR disekat kerana pilih gerakan menentang kerajaan

PKR menegaskan tindakan menyekat akses portal MyKhas untuk dua Ahli Parlimennya adalah kerana mereka memilih untuk bersama dengan gerakan...

More Articles Like This