TINDAKAN seorang lelaki berpaut pada sebuah kereta yang sedang bergerak mengundang padah apabila ditahan polis, awal pagi tadi.
Perbuatan lelaki tersebut turut tular menerusi video berdurasi 11 saat di media sosial.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak memaklumkan, pihaknya mengesan suatu video tular menunjukkan seorang lelaki berpaut di luar kereta yang sedang bergerak di jalan raya.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara lelaki berkenaan dengan seorang wanita yang juga bekas isterinya.
Mohd Sohaimi berkata, perselisihan faham itu telah bermula di sebuah pasar raya di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang pada pukul 3.30 petang semalam.
“Lelaki tersebut kemudiannya bertindak memanjat di atas bonet dan berpaut di hadapan kereta yang dipandu wanita berkenaan secara perlahan sejauh kira-kira dua kilometer.
“Sekumpulan lelaki dipercayai rakan kepada suspek juga bertindak menghalang kereta terbabit.
“Mereka didapati memeras ugut dengan merampas barangan milik wanita itu dan memecahkan cermin kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tahan reman tujuh hari
Mengulas lanjut, Mohd Sohaimi berkata, lelaki tersebut telah berjaya dikesan dan ditahan pada pukul 2 pagi tadi di Jalan Persisiran Seri Alam, Masai.
Katanya, pihak polis telah memperoleh kebenaran untuk menahan reman suspek warga tempatan berusia lingkungan 30 tahun itu selama tujuh hari hingga 7 Mac depan.
Beliau memberitahu, hasil semakan mendapati suspek tiada sebarang rekod lampau kesalahan jenayah tetapi saringan air kencing mendapati suspek positif ketamin.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana sengaja melakukan pemerasan yang jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya.
“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melakukan perbuatan khianat terhadap harta benda, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu dengan sengaja menggunakan dadah, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000,” katanya.
Semalam, tular video memaparkan seorang lelaki melakukan aksi berbahaya dengan berpaut pada kereta yang sedang bergerak.
Berdasarkan video tersebut, lelaki berkenaan didapati berpaut pada kereta jenis Suzuki Swift sebelum terjatuh.

