SEBANYAK 7,000 bungkus bubur lambuk diagihkan Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan di kawasan Parlimen itu sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Ramanan dalam hantaran di Facebook memaklumkan, daripada jumlah tersebut, 5,000 bungkus bubur lambuk diagihkan di bazar-bazar Ramadan sekitar Parlimen Sungai Buloh.
Menurut beliau, baki 2,000 lagi bubur infak Jumaat turut diagihkan ke semua masjid bagi memeriahkan lagi suasana berbuka puasa dan mengimarahkan jemaah yang hadir iftar di masjid.
“Bubur lambuk bukan sekadar juadah berbuka puasa tetapi simbol kebersamaan, semangat gotong-royong dan kasih sayang dalam masyarakat.
“Setiap kali Ramadan menjelang, tradisi ini sentiasa mengingatkan kita bahawa keberkatan itu lebih bermakna apabila dikongsi bersama,” katanya dalam hantaran tersebut.
Semalam, Ramanan berkesempatan menyemarakkan lagi suasana Ramadan dengan turun padang mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung di Bazar Ramadan Subang Perdana.
Beliau berkata, hampir 300 bubur lambuk sempat diagihkan kepada pengunjung yang sedang mencari juadah berbuka puasa.
Katanya, beliau juga sempat mengambil peluang menyantuni peniaga yang gigih mencari rezeki sepanjang Ramadan di samping beramah mesra dengan anak-anak kecil yang ceria menerima juadah.
“Melihat senyuman dan keterujaan mereka menjadi satu kepuasan yang sukar digambarkan.
“Inilah semangat Ramadan, memperkukuh silaturahim, menyantuni masyarakat dan memastikan suasana muhibah dirasai sepanjang bulan yang mulia ini.
“Semoga usaha ini dapat terus menyemai rasa kekeluargaan, keprihatinan dan perpaduan dalam kalangan warga Parlimen Sungai Buloh,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

