SEORANG lelaki berusia 50 tahun maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kereta jenis Perodua Myvi di KM23 Jalan Bukit Gambir-Sungai Mati, semalam.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Supritendan Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu pada jam 7 malam semalam.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Myvi berwarna putih yang semasa kejadian dalam perjalanan menghala ke Sungai Mati.
“Apabila sampai di lokasi kemalangan ketika kereta tersebut sedang memasuki simpang, tiba-tiba datang sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC tidak sempat mengelak lalu terlanggar kereta tersebut.
“Akibat dari perlanggaran tersebut penunggang motosikal telah mengalami kecederaan parah dan di kejarkan ke Hospital Tangkak namun telah disahkan meninggal dunia di hospital yang sama ketika mendapat rawatan,” katanya.
Roslan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, polis memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati semasa hendak keluar atau masuk simpang terutama di kawasan yang sibuk.
Beliau menambah, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Khairul Azmi Ibrahim di talian 011-12445836 bagi melengkapkan siasatan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

