MALAYSIA menyatakan solidariti dan mendoakan kesejahteraan umat Islam serta buat semua yang terkesan akibat konflik berlaku di Asia Barat ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berharap supaya keamanan, keadilan dan kestabilan dapat segera dipulihkan di Asia Barat.
“Doa dan solidariti Malaysia buat semua yang terkesan di Asia Barat.
“Malaysia mendoakan kesejahteraan umat Islam dan semua masyarakat yang terkesan serta berharap agar keamanan, keadilan dan kestabilan dapat segera dipulihkan di Asia Barat,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei telah meninggal dunia selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas republik Islam itu.
Dalam hantaran di aplikasi Truth Social miliknya, Trump menyifatkan Khamenei sebagai salah seorang individu paling jahat dalam sejarah, sudah tiada lagi.
Trump mendakwa, berita itu bukan sahaja keadilan untuk rakyat Iran tetapi buat semua rakyat AS yang hebat dan sesiapa sahaja di seluruh dunia yang telah dibunuh oleh Khamenei.
Berita pemergian Khamenei, 86, turut disahkan stesen televisyen rasmi Iran.
Pada masa sama, stesen televisyen rasmi Iran turut mengumumkan 40 hari tempoh berkabung susulan kematian Khamenei.
Agensi berita Fars dari Iran melaporkan Khamenei berada dalam pejabatnya ketika diserang oleh serangan udara Israel.
Khamenei telah menjadi tunjang kerohanian dan politik republik Islam itu selama lebih tiga dekad.
Sebagai pemimpin tertinggi dalam dasar luar, strategi ketenteraan dan keselamatan negara, beliau telah membentuk trajektori Iran sejak mengambil alih kepimpinan pada tahun 1989.
Fars turut melaporkan anak, menantu dan cucu Khamenei juga telah meninggal dunia.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

