PARTI Keluarga Malaysia dijangka membuat permohonan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai salah satu daripada parti komponen gabungan itu.
Pengarah Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan UTM Kuala Lumpur, Prof Madya Dr Mazlan Ali memaklumkan, situasi itu akan berlaku sekiranya Datuk Seri Hamzah Zainudin memimpin parti tersebut.
Beliau turut menyifatkan Parti Keluarga Malaysia boleh menjadi rakan strategik Pas dalam PN.
Menurut Mazlan, ia mengambil kira ‘keterbukaan’ pimpinan Pas terhadap Hamzah berbanding Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, Hamzah ketika ini mempunyai kekuatan dan sokongan daripada majoriti ahli-ahli Parlimen yang sebelum ini merupakan wakil rakyat Bersatu.
“Kita boleh lihat selepas berlaku perpecahan dalam Bersatu, Hamzah nampaknya lebih diterima oleh Pas berbanding Muhyiddin.
“Jadi, saya merasakan hala tuju Parti Keluarga Malaysia nanti adalah menggantikan Bersatu dalam PN.
“Petunjuk itu telah pun kita lihat sejak beliau dipecat daripada Bersatu di mana tular gambar Hamzah mengadakan pertemuan dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang disertai beberapa pimpinan Pas lain,” katanya kepada UtusanTV hari ini.
Mengulas lanjut, Mazlan berpandangan kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang juga mungkin tidak tergugat.
Pada masa sama, kata beliau, Pas juga dilihat mengambil sikap yang agak positif dengan kedudukan Hamzah.
Semalam, Hamzah mengesahkan wujud perbincangan untuk mengambil alih Parti Keluarga Malaysia sebagai ‘rumah baharunya’ selepas dipecat daripada Bersatu.
Media melaporkan Hamzah berkata, rundingan melibatkan pelbagai pertimbangan termasuk aspek teknikal berkaitan perlembagaan parti tersebut.
Ahli Parlimen Larut itu bagaimanapun menegaskan perkara tersebut masih di peringkat awal dan belum dimuktamadkan.
“Sedang berbincang dengan mereka bagaimana jika kita ambil alih parti tersebut. (Ya) ada perbincangan,” katanya di Parlimen.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

