AKTA Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) disifatkan sebagai instrumen perundangan yang penting.
Pada masa sama, SOSMA amat diperlukan untuk menangani ancaman keselamatan yang kompleks dan berstruktur.
Justeru, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, pihaknya akan melaksanakan penambahbaikan terhadap SOSMA.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri juga akan memastikan undang-undang tersebut kekal relevan sebagai perisai keselamatan negara tanpa mengabaikan perlindungan hak asasi individu serta kedaulatan undang-undang yang menjadi tunjang kepada demokrasi Malaysia.
“SOSMA adalah instrumen perundangan yang penting dan amat diperlukan untuk menangani ancaman keselamatan yang kompleks dan berstruktur.
“Ini termasuk aktiviti keganasan, sindiket jenayah terancang, penyeludupan migran dan ancaman terhadap kedaulatan negara yang tidak dapat ditangani secara berkesan melalui prosedur undang-undang jenayah biasa.
“Kementerian sedar akan kebimbangan pelbagai pihak mengenai peruntukan tertentu yang dilihat menjejaskan hak asasi manusia,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh sama ada SOSMA akan dimansuhkan ataupun sekurang-kurangnya dipinda bagi tujuan penambahbaikan.
Ramkarpal turut bertanya sekiranya akta tersebut tidak dimansuhkan, apakah sebab-sebabnya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

