DAP menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ dan institusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan digunakan untuk mencapai matlamat kepentingan peribadi.
Penubuhan RCI untuk menyiasat dakwaan ‘mafia korporat’ itu merupakan salah satu ketetapan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, malam tadi.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP mengambil perhatian serius terhadap dakwaan sebuah media asing berkenaan kewujudan gejala ‘mafia korporat’ itu.
“Kerajaan perlu menangani isu ini dengan berkesan untuk mempertahankan kewibawaan institusi SPRM melalui penubuhan sebuah RCI.
“RCI itu diwujudkan bagi menyiasat secara menyeluruh dakwaan tersebut dan mencadangkan langkah-langkah untuk mencegah penyalahgunaan kuasa dalam institusi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media antarabangsa, Bloomberg sebelum ini mendakwa mengenai kewujudan gejala mafia korporat dengan menyediakan ‘perkhidmatan’ intimidasi bagi memaksa pengambilalihan syarikat.
Laporan itu turut mendakwa wujud rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM yang menggunakan serbuan serta siasatan untuk memberi tekanan kepada eksekutif supaya menjual pegangan saham dalam syarikat disasarkan.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menafikan dakwaan berkenaan sambil menyifatkannya tidak berasas, selain menggesa mana-mana pihak mempunyai maklumat membuat laporan polis.
Sementara itu, Anthony Loke berkata, DAP turut menyatakan kekecewaan terhadap kegagalan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Sehubungan itu, katanya, DAP menggesa kerajaan untuk membentangkan semula RUU berkenaan dalam sidang Parlimen akan datang untuk merealisasikan agenda reformasi penting itu.
Pada masa sama katanya, beliau berkata DAP menyokong keputusan kerajaan merujuk RUU Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
“Wakil DAP dalam jawatankuasa berkenaan iaitu Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan akan berperanan untuk menambah baik aspek akauntabiliti serta ketelusan proses pelantikan jawatan itu.
“DAP terus komited mendokong agenda reformasi institusi dalam kerajaan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa, selain menyokong penuh usaha memerangi rasuah,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

