SEORANG lelaki warga asing ditahan selepas disyaki cuba mencuri kabel di kawasan landasan milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), petang semalam.
KTMB dalam kenyataan memaklumkan, kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu berlaku di Kilometer (KM) 37.478, sektor Telok Gadong – Teluk Pulai.
Menurut KTMB, semasa kejadian, anggota Polis Bantuan KTMB telah menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.
“Anggota Polis Bantuan KTMB itu kemudiannya telah bertemu lelaki itu dalam keadaan mencurigakan di kawasan landasan tersebut.
“Suspek kemudiannya cuba melarikan diri apabila didekati tetapi berjaya ditahan.
“Pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg kecil, sebilah pisau dan gunting bersama suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KTMB memberitahu, pihaknya telah menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut.
Katanya, perbuatan menceroboh dan merosakkan harta benda kereta api merupakan kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
“KTMB melalui pasukan Polis Bantuan akan terus mempergiat rondaan keselamatan bagi memastikan keselamatan infrastruktur landasan serta kelancaran operasi tren sentiasa terjamin.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan landasan diminta menghubungi Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-22631194 (24 jam) atau memaklumkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan segera,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

