SEORANG lelaki warganegara India yang didakwa berkelakuan tidak senonoh di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 2) dalam video tular rupa-rupanya menggaru paha kanan sehingga seluarnya terlondeh.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ravi, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.50 malam, semalam di Kaunter Myborder, kawasan ketibaan antarabangsa KLIA2.
Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan kejadian ini.
“Individu tersebut merupakan seorang lelaki warganegara India berusia 44 tahun yang terlepas penerbangan yang dijadual pada pukul 8.45 malam, Khamis lalu, akibat tertidur.
“Individu ini telah menggaru paha kanan hingga menyebabkan seluarnya terlondeh selama dua minit sebelum staf terminal yang berada di tempat kejadian telah menegur dan membantu memakaikan semula seluar individu tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca: Anggota tentera maut Myvi dipandu bertembung lori 10 tan
Mengulas lanjut, Ravi berkata wakil syarikat penerbangan telah menghubungi waris individu berkenaan.
Katanya, lelaki berkenaan telah diserahkan kepada pihak Kedutaan India dan dijangka pulang ke negara asal pada 14 Mac ini.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan kegusaran.
“Selain itu, orang ramai juga dinasihat tidak melakukan perbuatan yang dianggap sebagai perbuatan tidak senonoh di tempat awam khususnya di kawasan tumpuan orang ramai termasuk lapangan terbang,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi lapan saat memaparkan seorang lelaki didakwa berkelakuan tidak senonoh di kawasan lapangan terbang.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

