PASUKAN bola sepak kebangsaan Iran tidak berada dalam kedudukan untuk menyertai Piala Dunia 2026.
Perkara itu ditegaskan Menteri Belia dan Sukan Iran, Ahmad Donyamali seperti dilapor BBC.
Iran yang diletakkan dalam Kumpulan G dijadual menentang New Zealand dan Belgium di Los Angeles masing-masing pada 15 serta 21 Jun depan.
Pasukan itu akan menutup tirai perlawanan peringkat kumpulan di Seattle bagi menentang Mesir pada 26 Jun.
Piala Dunia 2026 akan diadakan di tiga negara iaitu Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico mulai 11 Jun depan.
Bagaimanapun, penyertaan Iran dalam Piala Dunia 2026 diragui sejak AS dan Israel melancarkan serangan ke atas negara itu sehingga membunuh pemimpin tertinggi mereka iaitu Ayatollah Ali Khamenei.
Iran bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel serta negara-negara lain yang menjadi ‘tuan rumah’ kepada pangkalan tentera AS.
Semalam, Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino berkata, Presiden AS, Donald Trump telah memberitahunya bahawa Iran ‘dialu-alukan’ untuk menyertai Piala Dunia 2026.
Bagaimanapun, dalam satu temu bual dengan IRIB Sports Network, Selasa lalu, Donyamali menegaskan: “Memandangkan kerajaan yang korup (AS) ini telah membunuh pemimpin kami, dalam apa jua keadaan kami tidak mempunyai syarat yang sesuai untuk menyertai Piala Dunia.
“Anak-anak lelaki kami tidak selamat dan syarat untuk penyertaan tidak wujud,” katanya.
Menurut Donyamali, dua peperangan telah dikenakan ke atas negara itu sepanjang lapan atau sembilan bulan lalu sehingga menyebabkan ribuan rakyat telah terbunuh dan syahid.
“Oleh itu, kami pastinya tidak mempunyai kemungkinan untuk menyertai (Piala Dunia 2026),” katanya.

