SABAH dan Sarawak akan terus menikmati diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter, walaupun harga diesel telah melambung naik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu mengambil kira keadaan geografi dan logistik Sabah dan Sarawak.
“Maknanya, bila perbezaan harga ini membengkak, kita harus waspada dan mengambil tindakan pengawalan yang lebih rapi, penguatkuasaan yang lebih berkesan.
“Tetapi memandangkan keadaan geografi dan logistik Sabah Sarawak, kita mengambil keputusan yang saya fikir munasabah pada peringkat ini. Tetapi ketirisan harus dikekang dan dikawal,” katanya dalam Perutusan Negara, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan akan mula menghadkan pengisian untuk ketika ini.
Antaranya, jelas beliau adalah kenderaan ringan pengangkutan darat awam, barangan dan persendirian maksimum 50 liter setiap pembelian.
Selain itu, katanya, kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebih tiga tan, maksimum 100 liter setiap pembelian dan kenderaan melebihi tiga tan, maksimum 150 liter setiap pembelian.
“Ini untuk menjamin dan memastikan agar bekalan ada, dapat diagihkan secara adil dan mencukupi kepada semua.
“Tanpa penyesuaian ini, kita bimbang ada kecenderungan untuk mengumpul dan menyeludup sepertimana telah dikesan selama ini,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

