EMPAT individu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di Taiping.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Abdul Malek Ismail berkata, pada 26 Mac lalu, kanak-kanak tersebut telah dimasukkan ke Hospital Taiping dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Katanya, doktor bertugas telah memberikan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama 30 minit namun tiada pemulihan peredaran spontan dan mengisytiharkan kematian pada jam 1.12 tengahari.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui terdapat beberapa kesan kecederaan yang mencurigakan di badan mangsa dan hasil bedah siasat mendapati kematian akibat “head and neck injuries due to blunt trauma” .
“Ekoran daripada insiden ini pihak polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Kesalahan Membunuh),” katanya.
Abdul Malek berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) taiping telah membuat tangkapan ke atas empat individu iaitu dua lelaki dan dua perempuan berusia antara 27 hingga 53 tahun yang juga merupakan ahli keluarga mangsa.
Katanya, kes ini telah berjaya diselesaikan dengan penahahan kesemua suspek tersebut.
Beliau berkata, Polis Daerah Taiping menyeru kepada masyarakat penduduk Taiping khususnya, terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi menjamin kesejahteraan dan ketenteraman awam.
“Sedia maklum, setiap perlakuan jenayah pastinya menimbulkan kebimbangan dan kegusaran kepada masyarakat setempat.
“Oleh demikian, Polis Daerah Taiping akan mengambil langkah yang proaktif bagi memastikan Daerah Taiping sentiasa selamat didiami dan selamat dilawati,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

