SEBUAH lori treler dipercayai dipandu terlalu laju hampir meragut nyawa pengguna jalan raya yang lain apabila muatan kontena yang dibawa tertanggal dan terjatuh ke bahagian bawah Jalan Kem, Pelabuhan Klang, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pada jam 12 tengah hari.
Katanya, siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dipercayai dipandu laju sehingga menyebabkan haulier bersama muatan kontena tertanggal daripada kepala treler dan terjatuh ke jalan di bahagian bawah.
“Kenderaan lain yang melalui laluan tersebut sempat memberhentikan kenderaan masing-masing dan berjaya mengelakkan pelanggaran.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kejadian tidak melibatkan kerosakan ke atas kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan dikendalikan oleh Inspektor Ahmad Syahid bin Salahudin. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
Jit Huey berkata, amaran tegas diberikan kepada semua pemandu kenderaan perdagangan supaya tidak memandu secara cuai atau berbahaya.
Katanya, kegagalan memastikan kenderaan, komponen dan muatan berada dalam keadaan selamat boleh mengundang risiko serius kepada pengguna jalan raya lain.
Beliau menegaskan, tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

