86,030 pelajar di Kota Setar, Pendang jalani PdPR mulai hari ini

Dari Penulis

PELAKSANAAN Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di kawasan yang merekodkan suhu harian Tahap 2 di Kedah, akan dilanjutkan sekiranya keadaan membimbangkan itu berterusan.

Pengarah Pendidikan Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, PdPR di Kota Setar dan Pendang mulai hari ini hingga Selasa depan selepas kedua-dua daerah itu merekodkan suhu harian Tahap 2 selama tiga hari berturut-turut.

Beliau berkata, seramai 86,030 pelajar terbabit pelaksanaan PdPR kali ini, iaitu 65,634 pelajar dari 154 sekolah di Kota Setar dan 20,396 pelajar dari 52 sekolah di Pendang.

“Pelaksanaan PdPR ini selaras garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan pengoperasian institusi pendidikan ketika cuaca panas.

“Suhu cuaca sekarang mencecah 37 darjah Celsius dan sangat panas. Oleh itu, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengambil inisiatif melaksanakan PdPR.

“Ia bagi mengelak pergerakan pelajar supaya mereka tidak terdedah kepada cuaca panas, terutama pada waktu puncak ketika tengah hari,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma, hari ini.

Abdul Rahim menjelaskan bahawa cuaca panas tidak menjejaskan sesi PdP yang berjalan seperti biasa.

Malah, beliau memaklumkan bahawa pihak JPN, sekolah dan guru sudah membuat persediaan sejak Rabu lalu selepas peringatan awal dikeluarkan mengenai kemungkinan sekolah akan ditutup susulan cuaca panas terik.

“Pemantauan berterusan akan dilakukan. Kita akan memantau tahap bacaan suhu dikeluarkan METMalaysia.

“Jika bacaan suhu dalam tempoh tiga hari akan datang masih sama, PdPR akan diteruskan. Namun sekiranya bacaan suhu menurun, sesi persekolahan secara bersemuka akan dijalankan semula seperti biasa.

“Kita mahu memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar terjaga kerana cuaca panas ini boleh menyebabkan banyak komplikasi kesihatan yang lain.

“Justeru, kita meminta waris pelajar turut sama memastikan kesihatan anak-anak terpelihara, termasuk tidak terdedah kepada cuaca panas dalam tempoh lama,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Jenazah suami Nancy Shukri diterbangkan ke Kuching hari ini

JENAZAH suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri iaitu Datuk Kamil Misuari akan diterbangkan...

More Articles Like This