ISU pemandu mabuk menjadi keutamaan apabila Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ketika beliau menerajui Kementerian Pengangkutan.
Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low berkata, susulan itu, Kementerian Pengangkutan yang dipimpin Anthony Loke Siew Fook ketika ini perlu mengambil langkah susulan sewajarnya bagi membendung isu itu daripada terus berlaku.
Katanya, Loke perlu tampil ke hadapan dan menjawab pelbagai persoalan seperti sama ada penguatkuasaan ada dijalankan berhubung perkara itu.
Selain itu, menurut Lawrence, turut perlu dijelaskan adalah adakah kempen kesedaran awam mengenai bahayanya pemanduan yang dipengaruhi dadah atau alkohol yang digerakkan pada 2020 dihentikan setelah pertukaran kerajaan.
“Nyawa manusia tiada galang gantinya. Keselamatan pengguna jalan raya lain tidak patut dipertaruhkan dek kerana kecuaian pihak lain.
“Tindakan tegas, konsisten dan berterusan daripada MOT serta agensi berkaitan perlu diperkasakan, bukan bersifat reaktif hanya selepas berlakunya tragedi,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, seorang penunggang motosikal maut akibat dirempuh pemandu Honda City yang didapati positif dadah dan berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan awal mendapati Honda City yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan umur 20-an dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang telah dipandu dalam keadaan laju dan berbahaya.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, pemandu tersebut dipercayai telah memotong beberapa kenderaan di hadapan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.
Akibat pelanggaran tersebut, katanya, mangsa seorang lelaki tempatan umur 30-an telah tercampak ke atas sebuah kereta jenis Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mengulas lanjut, Lawrence berkata, antara langkah yang telah diambil Ka Siong sebelum ini ialah oindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Katanya, pindaan itu dibuat bagi mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pesalah, khususnya melibatkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45.
“Bukan itu sahaja, usaha ketika itu tidak tertumpu kepada hukuman semata-mata, malah turut disusuli dengan pelaksanaan kempen kesedaran secara meluas bagi mendidik masyarakat tentang bahaya pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah serta pemanduan secara melulu.
“Ini bukanlah isu perkauman, kerana sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa dan terkorban disebabkan pemandu mabuk, dipengaruhi dadah serta mereka yang tidak bertanggungjawab memandu secara melulu serta merbahaya.
“Malah, semasa proses pindaan Akta 333, banyak sesi libat urus diadakan bersama pelbagai pihak termasuklah dengan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) yang berlangsung di MOT pada 23 Jun 2020,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

