ANTARA perkara yang diteliti dalam beberapa perkara akhir sebelum boleh diumumkan Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) adalah pelaksanaan bagi sektor awam bukan hanya bagi Putrajaya tetapi dalam fasa pertama melibatkan sejumlah kawasan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, hari ini.
Katanya, Ketua Setiausaha Negara akan membuat pengumuman lanjut mengenai perkara itu bersekali dengan maklumat terperinci bagi perkhidmatan awam.
“Manakala bagi sektor swasta, adalah digalakkan untuk teliti aspek-aspek yang bersesuaian.
“Ini mengambil kira bahawa setelah berlakunya pandemik beberapa tahun yang lalu, ada sejumlah syarikat yang memang telah melaksanakan dan masih terus melaksanakan dasar BDR,” katanya dalam sidang media Jurucakap Kerajaan, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri bersetuju untuk menubuhkan sebuah pusat arahan komunikasi berkait dengan Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
Katanya, satu sesi taklimat atau sidang media akan diadakan setiap hari sekitar jam 4 petang.
Menurut Fahmi, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan akan bermesyuarat secara berkala untuk menyelaras aspek-aspek komunikasi bagi pihak kerajaan.
Jelas beliau, ia khususnya berkait respon dan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan dan badan-badan berkaitan khusus berkait krisis tenaga global dan situasi perang di Asia Barat.
“Jemaah Menteri pada hari ini dah memutuskan agar Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir akan bertemu dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi kewangan dan ekonomi untuk menyampaikan pandangan dan ikhtiar kerajaan yang telah dirangka setakat ini khusus berkait isu-isu ekonomi dan kewangan akibat daripada apa yang sedang berlaku di Asia Barat dan kesan kepada ekonomi negara akibat daripada krisis tenaga global,” katanya.
Sementara itu, katanya, Mesyuarat Jemaah Menteri juga telah dimaklumkan oleh Menteri Luar bahawa semua mesyuarat bagi ASEAN pada tahun ini akan diadakan secara dalam talian.
Katanya, mesyuarat secara bersemuka atau fizikal sama ada di Manila atau di mana-mana tempat lain tidak akan diadakan kecuali bagi ketua-ketua kerajaan.
Menurut Fahmi, antara mesyuarat akan datang terawal yang akan dilaksanakan dalam kerangka ASEAN adalah mesyuarat bagi menteri-menteri kesihatan yang juga akan diadakan secara dalam talian.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

