GELOMBANG muzik alternatif dari Indonesia bakal melanda ibu kota apabila kumpulan sensasi, Barasuara, disahkan akan mengadakan konsert eksklusif mereka, Barasuara Live in Kuala Lumpur, pada 4 April ini.
Penganjuran ini sekaligus menamatkan penantian panjang peminat tempatan yang merindui tenaga luar biasa kumpulan ini di atas pentas.
Dibawakan khas oleh penganjur acara, YOLO Malaysia, konsert ini bukan sekadar persembahan muzik biasa, malah ia dijanjikan sebagai satu naskhah seni yang penuh intensiti.
Barasuara yang terkenal dengan gabungan rock alternatif dinamik serta susunan muzik berlapis, mempunyai reputasi besar dalam memberikan pengalaman live yang memukau emosi dan fizikal penonton.
Menurut wakil YOLO Malaysia, pemilihan Barasuara adalah berdasarkan kualiti muzik mereka yang sangat unik dan relevan dengan selera pendengar masa kini.
Penganjur percaya kumpulan ini mempunyai daya tarikan tersendiri yang mampu menghimpunkan peminat dari seluruh rantau termasuk Singapura dan Brunei.
“Barasuara adalah sebuah band yang perlu dialami secara langsung oleh setiap pencinta muzik.
“Tenaga yang mereka bawa dan susunan muzik yang kompleks namun harmoni menjadikan mereka sangat istimewa.
“Kami di YOLO Malaysia mahu membawa pengalaman magis tersebut terus ke jantung Kuala Lumpur supaya peminat dapat merasainya sendiri,” jelas wakil penganjur dalam satu kenyataan.
Bagi memastikan malam tersebut menjadi memori yang tidak dilupakan, konsert ini bakal menampilkan rangkaian lagu-lagu popular daripada album terdahulu serta karya yang kini sedang tular.
Antara yang paling dinanti sudah pastinya lagu Terbuang Dalam Waktu dan Pancarona, yang dijangka akan mencetuskan koir gergasi dalam kalangan penonton nanti.
Selain pemilihan lagu, aspek teknikal turut menjadi keutamaan.
Menyedari piawaian muzik Barasuara yang tinggi, sistem bunyi dan visual akan disesuaikan mengikut standard persembahan antarabangsa bagi memastikan suasana yang imersif.
“Kami memberikan perhatian khusus kepada setiap perincian produksi. Matlamat kami adalah selaras dengan standard persembahan global, di mana penonton bukan sahaja datang untuk mendengar lagu, tetapi untuk tenggelam dalam satu malam yang penuh energi dan berkualiti tinggi,” tambahnya lagi.
Sebagai salah seorang pemain aktif dalam industri penganjuran acara, YOLO Malaysia terus memperkukuhkan kedudukan mereka dengan membawakan artis-artis serantau yang berpengaruh.
Kehadiran Barasuara ke Malaysia membuktikan komitmen syarikat ini dalam mempelbagaikan pilihan hiburan berkualiti untuk pasaran tempatan.
“Konsert ini bukan sekadar satu persembahan, tetapi ia adalah ruang untuk menghimpunkan komuniti pencinta muzik dalam satu ekosistem yang sihat.
“Kami komited untuk terus membawakan pengalaman unik dan berkualiti tinggi kepada penonton di Malaysia dan rantau Asia secara amnya,” ujar wakil itu menutup bicara.
Peminat yang tidak mahu terlepas peluang menyaksikan kehebatan Barasuara dinasihatkan untuk segera mendapatkan tiket di laman web rasmi yoloasia.com.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

