Cerita tentang mabuk, mabuk todi, mabuk kuasa

Dari Penulis

DALAM karya-karya dan pemikiran dilontarkan tokoh pemikir alam Melayu, Buya Hamka, beliau banyak menekankan mengenai ‘mabuk’ yang dipandangnya secara meluas.

Bukan sekadar ‘mabuk todi’ atau kecanduan arak, beliau melihat mabuk itu melewati mabuk keduniaan yang melalaikan manusia termasuk mabuk kuasa.

Inti pati daripada segala kemabukan ini, tegas beliau, mendorong manusia menjadi sombong dan bongkak sehingga hilang pedoman.

Kisah-kisah mengenai manusia sombong ini banyak dalam al-Quran.

Sebut sahaja Firaun, Qarun, akhirnya mereka ini menjadi pengikut iblis yang terlebih dahulu berpenyakit sedemikian dan dilaknat Allah SWT.

Dalam Surah Luqman, ayat 18, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri”.

Ingat, pokok pangkalnya kesombongan ini adalah satu, mabuk keduniaan, mabuk kuasa dan mabuk mendapatkan pujian dan perhatian manusia.

Memetik Tafsir Al-Azhar oleh Buya Hamka, mabuk itu, tak kira mabuk kerana khamr (arak) atau mabuk keduniaan, ia menghancurkan persaudaraan sesama manusia dan menciptakan konflik.

Benar apa yang ditulis oleh beliau kerana mabuk itu menjadi penghalang untuk kita mengingati Allah, Yang Maha Pencipta.

Apabila ini berlaku, ruang kewarasan menjadi sempit dan jelas membawa kemudaratan, baik kepada diri sendiri mahupun orang lain.

Di negara ini, ruang kewarasan yang sempit dek kerana kelalaian dan kemabukan duniawi itu banyak contohnya.

Banteras isu pemandu mabuk

Sehingga meragut nyawa insan lain, manusia yang berada di bawah pengaruh alkohol, yang membahayakan orang sekeliling, ini patut kita banteras bersama.

Hukumlah mereka ini dengan seberat-berat hukuman, bukannya dibela, ditandu kononnya masih berharga kepada masyarakat.

Bagi saya, sudah banyak kes kemalangan maut yang ada kaitan dengan pemandu mabuk, sampai bila kita nak melihat kejadian sama berulang.

Ramai yang sudah beri cadangan, haramkan secara total arak dan penjualannya di negara ini kerana ia tiada manfaat yang jelas melainkan kemudaratan.

Pak mamanda, apa tunggu lagi? Bertindaklah dengan ‘kejam’ demi keselamatan kita bersama. Jangan ada lagi selepas ini kes yang berulang dan berulang dan berulang. Tindakannya? Penguatkuasaannya? ‘Lemah’.

Usahlah ‘mabuk’ dengan kuasa sehingga menidakkan pandangan ramai. Ini isu cukup kritikal kerana ia melibatkan nyawa.

Sekali lagi, ingat, mabuk keduniaan ini cukup parah, membawa kepada kesombongan dan akhirnya kemudaratan.

Mabuk todi, mabuk kuasa, mabuk keduniaan, mabuk untuk dipandang tinggi, semuanya menghadirkan kemurkaan Allah SWT.

Metra Syahril Mohamed ialah Ketua Pengarang UtusanTV


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

‘Anda tak nak duduk semeja dengan DAP, teruskan keangkuhan kamu’ – Loke

DAP menyifatkan keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk tidak bekerjasama dengannya jika diberi mandat semula membentuk kerajaan negeri pada...

More Articles Like This