DALAM tempoh dua minggu ini, isu melibatkan pemanduan bawah pengaruh (DUI) tidak kiralah melibatkan pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah heboh diperkatakan.
Ia kembali hangat selepas tragedi kematian seorang bapa dipercayai akibat pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah di Klang, 29 Mac lalu.
Video kemalangan ngeri itu tular di media sosial menyebabkan kemarahan masyarakat.
Ini bukanlah benda baharu. Saban tahun kita dihidangkan dengan berita yang sama, kemalangan jalan raya yang sebahagiannya berpunca daripada pemandu mabuk alkohol atau pun ‘mabuk’ dadah.
Lebih tragis, kebanyakan kemalangan itu tidak mengorbankan pemandu mabuk berkenaan tetapi pengguna jalan raya lain pula menjadi mangsa kepada kecuaian dan sikap tidak berperikemanusiaan itu.
Persoalannya, sampai bila nyawa tidak berdosa harus menjadi taruhan?
Dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen pada Oktober lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan sebanyak 41 kematian akibat kemalangan jalan raya melibatkan pemandu berada di bawah pengaruh alkohol direkodkan sejak tahun 2022 hingga Jun 2025.
Sekiranya dibandingkan dengan jumlah keseluruhan kes kematian jalan raya, sememangnya jumlah itu nampak kecil.
Namun, setiap satu angka itu mewakili satu nyawa – seorang anak, ibu, bapa atau sahabat.
Yang pergi itu bukan kerana takdir semata-mata tetapi akibat kecuaian manusia lain.
Lebih menyakitkan hati, setiap kali tragedi berlaku, reaksi kita hampir sama: marah, kecewa, simpati. Namun selepas beberapa hari, semuanya kembali seperti biasa. Seolah-olah kita sudah terbiasa dengan kehilangan nyawa di jalan raya.
Inilah masalah sebenar—kita belum cukup tegas.
Undang-undang sedia ada memang memperuntukkan hukuman terhadap pemandu mabuk. Namun persoalannya, adakah hukuman itu benar-benar memberi pengajaran?
Di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah hingga menyebabkan kematian boleh dikenakan penjara maksimum 15 tahun, denda hingga RM100,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu 10 tahun atau lebih.
Jika dilihat impak ke atas mangsa dan keluarga akibat kehilangan nyawa, hukuman itu jelas tidak mencukupi.
Dalam banyak kes, keluarga mangsa terpaksa menanggung kehilangan sepanjang hayat. Anak kehilangan ibu bapa, isteri kehilangan suami, ibu bapa kehilangan anak. Luka ini tidak pernah sembuh, walaupun pelaku mungkin sudah menjalani hukuman.
Justeru, kerajaan perlu mempertimbangkan langkah lebih tegas berhubung hukuman ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.
Tidak kiralah sama ada hukuman gantung sampai mati mahu pun denda yang lebih tinggi, ia penting bagi memberi mesej jelas kepada semua pihak.
Ini bukan perkara main-main. Ini bukan soal menghukum semata-mata tetapi soal melindungi nyawa.
Jika undang-undang terlalu longgar, mesej yang sampai kepada masyarakat juga longgar. Tetapi jika hukuman jelas, tegas dan konsisten, ia akan menjadi penghalang kepada mereka yang masih berfikir untuk mengambil risiko.
Cukup-cukuplah.
Berapa banyak lagi nyawa perlu melayang sebelum kita benar-benar serius menangani isu ini?
Kita tidak boleh terus menunggu tragedi demi tragedi untuk bertindak.
Setiap nyawa yang hilang adalah kegagalan kita sebagai masyarakat untuk melindungi antara satu sama lain.
Kerana di jalan raya, satu keputusan bodoh – seperti memandu dalam keadaan mabuk, boleh menjadi ‘hukuman mati’ kepada orang lain yang tidak bersalah.
Dalam mana-mana tamadun dunia sekali pun, ia tidak sepatutnya dibiarkan berlaku lagi.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

