SEORANG lelaki warga tempatan berusia 35 tahun ditahan selepas merempuh dua individu termasuk kanak-kanak berusia enam tahun di Jalan Dato Jaafar, Johor Bahru, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pada jam 12 tengah hari.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego Avantis dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
Jelas beliau, motosikal tersebut ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun bersama pembonceng seorang kanak-kanak berusia enam tahun.
Menurut Raub, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Tabika Kemas, Majidee hendak balik rumah di Larkin Residen Apartment.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan bekerja sebagai operator kilang memandu di bawah pengaruh alkohol telah melanggar belakang motorsikal di hadapannya.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motorsikal dan pembonceng telah jatuh ditengah jalan. Penunggang motorsikal mengalami luka-luka di bahagian kaki dan tangan.
“Pembonceng pula mengalami lebam di bahagian kepala, luka-luka di tangan dan kaki yang kini masih menerima rawatan di zon kuning KPJ Puteri,” katanya dalam kenyataan.
Raub berkata, pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, hasil ujian saringan alkohol mendapati pemandu kenderaan tersebut adalah positif dengan bacaan sd2+ 285mg/100ml dan bacaan eba-ii 214mg/100ml.
Jelas beliau, bacaan tersebut adalah melebihi had yang telah ditetapkan manakala, hasil ujian saringan air kencing pula negatif.
Raub memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Permohonan reman akan dibuat pada 10 April di Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk siasatan lanjut.
“Pihak polis memandang serius sebarang kesalahan melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol kerana ia boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak memandu dalam keadaan yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan tindakan tegas akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

