KEDAI Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang diperkenalkan pada Jun 2011 oleh Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah.
Program ini dilaksanakan dalam suasana peningkatan kos sara hidup, khususnya melibatkan golongan B40 yang terkesan dengan kenaikan harga barangan harian.

Operasi KR1M dikendalikan oleh Mydin Mohamed Holdings (Mydin) sebagai pengendali utama, dengan matlamat mengurangkan beban rakyat melalui penawaran produk pada harga lebih kompetitif, di samping menyokong pengeluaran industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan.

Namun, pelaksanaan KR1M tidak mencapai sasaran seperti diharapkan.
Antara isu utama yang timbul termasuk persepsi pengguna bahawa harga barangan tidak konsisten lebih murah berbanding pasaran, selain kontroversi berkaitan kualiti produk yang menjejaskan keyakinan awam.
Paling kritikal apabila ada pihak yang menyamakan kualiti barangan KR1M seperti makanan kucing, satu propaganda yang amat berjaya pada ketika itu dalam menyemai kebencian kepada kerajaan.

Dalam masa sama, kos operasi yang tinggi khususnya dari segi logistik dan pengedaran turut memberi tekanan kepada model perniagaan program tersebut.
Keadaan itu membawa kepada kerugian besar, apabila Mydin dilaporkan menanggung kerugian melebihi RM100 juta sepanjang mengendalikan KR1M.

Kerajaan turut menanggung kos signifikan melibatkan penyediaan infrastruktur dan premis, menjadikan keseluruhan inisiatif ini sebagai satu eksperimen dasar yang mahal.
Akhirnya, menjelang 2017, operasi KR1M ditamatkan secara berperingkat selepas pelbagai kelemahan dikenal pasti dalam pelaksanaan dan pengurusannya.
Pengajaran kritikal untuk Kerajaan MADANI
Kegagalan KR1M memberi beberapa pengajaran penting yang perlu dijadikan asas sebelum melaksanakan inisiatif baharu seperti MADANI Mart.
KR1M menunjukkan bahawa tanpa struktur kos yang realistik, usaha menawarkan harga murah sukar dikekalkan dalam jangka panjang.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Mohammad Syahnis Salleh, menekankan bahawa pendekatan yang lebih holistik diperlukan bagi memastikan agenda MADANI Mart tidak meminggirkan peruncit kecil yang telah lama menjadi tulang belakang ekonomi setempat.

Antara pendekatan konstruktif yang perlu diambil kerajaan adalah memperkasakan peruncit sedia ada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Jelas beliau, sektor PKS menyumbang 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menggaji lebih 3 juta rakyat.
MTEM mencadangkan agar dana yang diperuntukkan bagi pembukaan outlet baharu disalurkan melalui program transformasi kepada peruncit kecil sedia ada di setiap DUN.
Ini akan memberi impak ekonomi yang lebih meluas berbanding membina rangkaian baharu yang mungkin bersaing dengan peniaga tempatan
Kedua, aspek rantaian bekalan dan logistik perlu dirancang secara menyeluruh. Kos pengedaran yang tinggi, terutama ke kawasan luar bandar, menjadi antara punca utama ketidakcekapan KR1M.
Justeru, sebarang inisiatif baharu perlu memastikan sistem bekalan yang lebih efisien dan berskala.
Menurut Mohammad Syahnis, MTEM berharap inisiatif seperti Program
Jualan Rahmah (PJRM) diagihkan secara saksama kepada semua peruncit,
bukannya terhad kepada Madani Mart sahaja.
Pemberian ‘kelebihan tidak adil’ kepada satu entiti dikhuatiri akan menjejaskan daya saing peruncit kecil yang tidak mempunyai akses kepada subsidi yang sama.
Ketiga, ketelusan harga dan jaminan kualiti produk adalah faktor kritikal dalam membina kepercayaan pengguna.
Persepsi negatif terhadap harga dan mutu barangan dalam KR1M membuktikan bahawa niat baik sahaja tidak mencukupi tanpa pelaksanaan yang konsisten dan diyakini rakyat.
Mohammad Syahnis berkata, sejarah menunjukkan banyak projek peruncitan
berskala besar yang bersifat ‘top-down’ sukar untuk bertahan lama.
MTEM bimbang sekiranya sasaran 600 outlet MADANI Mart hanyalah bersifat jangka pendek tanpa pelan perniagaan yang mampan, yang akhirnya akan merugikan dana awam dan penyumbang.
Keempat, kebergantungan kepada satu pengendali utama juga meningkatkan risiko operasi.
Pengalaman KR1M memperlihatkan bahawa apabila satu pihak menanggung sebahagian besar beban, kegagalan akan memberi kesan besar kepada keseluruhan sistem.
Lantaran itu, Mohammad Syahnis berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu berperanan sebagai pemudah cara untuk menghubungkan persatuan peniaga kecil terus dengan pengilang besar bagi mendapatkan harga borong yang kompetitif, setanding pasar raya besar
MADANI Mart: Ruang penambahbaikan
Dalam konteks ini, pelaksanaan MADANI Mart dilihat sebagai peluang untuk kerajaan memperbaiki kelemahan lalu.

Pendekatan yang lebih kolaboratif dengan melibatkan pelbagai pihak seperti koperasi dan usahawan tempatan boleh mengurangkan risiko serta meningkatkan daya tahan operasi.
Selain itu, penekanan kepada model perniagaan yang lestari dan fleksibel amat penting supaya inisiatif ini tidak mengulangi kesilapan KR1M.
Keupayaan menyesuaikan operasi mengikut lokasi dan keperluan komuniti menjadi kelebihan yang perlu dimanfaatkan.
Akhirnya, kejayaan MADANI Mart bukan sahaja bergantung kepada niat membantu rakyat, tetapi sejauh mana kerajaan benar-benar mengambil iktibar daripada kegagalan KR1M.
Tanpa pembaharuan menyeluruh dari segi struktur, pengurusan dan pelaksanaan, risiko mengulangi kegagalan lama tidak boleh diketepikan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

