SEORANG lelaki warga tempatan yang mengamuk dan melibas anggota polis menggunakan pisau berjaya ditahan di sebuah restoran di kawasan Telok Mengkuang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 3.30 petang.
Katanya, setibanya di tempat kejadian, polis mendapati seorang lelaki warga tempatan bertindak secara agresif dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging dan sebatang rotan.
Jelas beliau, suspek didapati telah memecahkan pelbagai barangan di sebuah restoran makanan laut yang terletak di Jalan Pandan 2, Telok Mengkuang.
“Siasatan awal turut mendapati suspek telah merosakkan tiga buah kenderaan milik orang awam yang berada di sekitar kawasan tersebut.
“Selain itu, suspek turut bertindak ganas dengan melibaskan senjata ke arah anggota polis serta kenderaan MPV, sekali gus mengancam keselamatan pihak berkuasa dan orang awam,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, hasil tindakan pantas polis, suspek telah berjaya ditahan bagi tujuan siasatan lanjut.
Katanya, suspek telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk pemeriksaan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.
Mohd Akmalrizal berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

