SELEPAS sekian lama menyepi daripada radar industri muzik tanah air, kumpulan Sakura Band akhirnya menamatkan penantian peminat dengan pelancaran album terbaharu mereka yang diberi judul cukup simbolik, ‘RE:START’.
Album ini bukan sekadar koleksi lagu baharu, malah ia merupakan satu pernyataan tegas tentang fasa kedua perjalanan seni kumpulan ini.
Menerusi naskhah ini, Sakura Band dilihat lebih berani meneroka bunyi yang lebih ‘berat’ namun tetap mengekalkan DNA asal yang pernah melonjakkan nama mereka suatu ketika dahulu.
Vokalisnya iaitu Mell, menjelaskan bahawa pemilihan judul ‘RE:START’ mencerminkan kebangkitan semula mereka selepas melalui tempoh berehat yang panjang untuk mencari inspirasi dan arah tuju baharu.
“Konsep kali ini memang berteraskan kemunculan semula Sakura Band. Sebab itu kami sepakat memilih judul ‘RE:START’.

“Dari sudut muzikal, memang ada perubahan yang ketara di mana kami kini lebih terarah kepada genre pop rock.
“Namun, kami tetap memastikan identiti Sakura Band yang dikenali peminat masih segar dalam setiap susunan muzik,” ujar Mell mengenai hala tuju album tersebut.
Bagi mengubat rindu peminat tegar, mereka memilih lagu berunsur pop berjudul Masih sebagai taruhan single pertama.
Strategi ini diambil bagi membina jambatan nostalgia sebelum membawa pendengar menyelami sisi yang lebih eksperimental dalam album ini.
“Kami mahu peminat lama berasa ‘ini adalah Sakura Band yang mereka kenal’.
“Lagu Masih mempunyai elemen pop yang kuat dan mempunyai vibe yang hampir sama dengan lagu‘Melepaskanmu.
“Ia berfungsi sebagai ‘jambatan’ untuk menarik semula pendengar masuk ke dalam dunia muzik kami yang sekarang,” tambahnya lagi.

Apa yang menarik, album ‘RE:START’ turut menyaksikan kolaborasi Sakura Band bersama nama-nama besar seperti Adi 6ixth Sense serta kerjasama sulung bersama penerbit berpengalaman, Laq (gitaris Akim & The Majistret).
Proses pembikinan album yang bermula sejak Januari 2025 ini juga merupakan kali pertama mereka bertindak sebagai penerbit sendiri, memberikan mereka kebebasan mutlak untuk meneroka kreativiti tanpa sempadan.
“Ini adalah pengalaman pertama kami menghasilkan dan menerbitkan album sendiri. Kami mengambil peluang ini untuk bereksperimen dengan lebih bebas.
“Walaupun cabaran terbesar adalah untuk kekalkan momentum dan mencari konsep yang benar-benar segar, kami sangat berpuas hati dengan hasilnya kerana setiap lagu dalam album ini sangat dekat dengan pengalaman peribadi dan realiti hidup kami,” jelas Mell.
Mengandungi lapan buah lagu termasuk trek pengenalan, ‘RE:START’ padat dengan penceritaan autentik yang diinspirasikan daripada pemerhatian mereka terhadap kehidupan sekeliling.
Antara lagu yang dimuatkan ialah 1,2,3 GO!, Impian, Sahabat Sejati, Manusia Biasa, Tikam Belakang, dan Bulan & Bintang.
Diterbitkan di bawah label Seventeen Eleven Music, album itu boleh didapati di semua platform penstriman digital bermula 17 April.
Dalam masa yang sama, peminat juga boleh menonton video muzik rasmi single Masih di saluran YouTube rasmi Seventeen Eleven Music.
Bagi peminat muzik pop rock yang merindui vokal bertenaga Mell dan susunan muzik Sakura Band yang dinamik, album ‘RE:START’ adalah bukti kumpulan ini sudah bersedia untuk kembali takhta industri muzik tempatan.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

