
MALAYSIA akan mula memasuki ‘lingkaran’ proses demokrasi dengan di ‘atas kertas’ Melaka bakal membuka tirai tahun ini sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) mula ‘menjengah’ dijadualkan penghujung tahun depan.
Menjelang PRU-16, landskap media tempatan menyaksikan perubahan ketara dalam cara maklumat disampaikan kepada masyarakat.
Dalam era digital yang pantas dan dinamik, pendekatan konvensional semakin dilengkapi dengan format baharu yang lebih segar, interaktif dan dekat dengan audiens.
Seiring dengan perubahan ini, portal berita dengan jumlah pengikut melebihi enam juta di semua platform media sosial, UtusanTV bergerak selangkah ke hadapan menerusi pengenalan segmen BoraKrasi.
Bermula sejak 8 April lalu, BoraKrasi yang diambil daripada gabungan dua perkataan iaitu ‘Borak’ dan ‘Demokrasi’, hadir bagi mengisi vakum menyebarluaskan suara rakyat dengan lebih kritikal.
Tanpa mengabaikan etika kewartawanan dan fakta yang tepat serta telus, segmen itu mengetengahkan buah fikiran yang berbeza berbanding laporan berita harian.
Pada masa sama, sesuai dengan namanya, BoraKrasi turut menjadi medium penyebaran artikel menjelang PRU-16.
Selepas hampir dua minggu ke ‘udara’, BoraKrasi yang turut disebarkan menerusi platform TikTok UtusanTV menjadi perhatian umum.
Dekat pelbagai lapisan masyarakat
Kempen ini dilihat sebagai langkah strategik UtusanTV dalam mendekati pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan muda yang semakin cenderung mendapatkan maklumat melalui medium digital.
Bagi melengkapi asas segmen itu, UtusanTV bakal tampil dengan satu inisiatif baharu menerusi program bual bicara atau audio siar BoraKrasi.
Program tersebut merupakan platform wacana yang menggabungkan elemen perbincangan serius dengan pendekatan kasual yang mudah dihadam penonton.
Melalui BoraKrasi, pelbagai isu semasa akan diketengahkan dengan tumpuan utama adalah aspek politik menjelang PRU-16.
Fokus utama program itu nanti adalah untuk membuka ruang diskusi yang lebih inklusif dan seimbang berkaitan perkembangan politik negara menerusi kehadiran ahli-ahli politik tanah air.
Pendekatan santai tetapi berani dan panas akan diketengahkan dalam BoraKrasi sekali gus menjadi kekuatan program ini.
Berbeza dengan format perbincangan politik yang sering dilihat berat dan formal, podcast ini menggunakan gaya perbualan yang lebih relaks, sekali gus memudahkan penonton memahami isu-isu kompleks.
Ini penting dalam memastikan maklumat yang disampaikan bukan sahaja tepat, tetapi juga relevan dan mudah diakses oleh semua.
Dalam konteks PRU-16, BoraKrasi memainkan peranan penting sebagai jambatan antara rakyat dan isu-isu semasa.
Dengan pendekatan yang lebih segar dan inklusif, program ini berupaya menarik minat generasi baharu untuk lebih peka terhadap perkembangan politik negara.
Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen UtusanTV dalam memperkukuh peranan media sebagai penyampai maklumat yang bertanggungjawab.
Bukan sekadar program audio siar atau bual bicara, BoraKrasi merupakan satu gerakan media yang berpotensi memberi impak besar menjelang PRU-16.
Afiq Mohd Shah ialah Penolong Pengarang Berita UtusanTV

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

