KTMB tambah baik jadual Komuter Lembah Klang mulai esok

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah baik jadual perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang susulan maklum balas penumpang berkaitan waktu perjalanan dan kesesuaian jadual.

KTMB dalam kenyataan memaklumkan, penambahbaikan itu akan berkuat kuasa mulai esok, 27 April bagi jadual waktu hari bekerja.

Pada masa sama, KTMB memberitahu, jadual waktu cuti umum dan hujung minggu akan bermula pada Jumaat, 1 Mei melibatkan laluan Pulau Sebang – Batu Caves – Pulau Sebang.

Menurut syarikat itu, penambahbaikan tersebut dilaksanakan susulan penilaian semula terhadap pelaksanaan jadual baharu yang diperkenalkan pada 18 April lalu sejajar dengan kerja-kerja projek naik taraf Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2).

Sepanjang tempoh tersebut, KTMB telah meneliti secara menyeluruh maklum balas serta cadangan yang dikemukakan oleh penumpang melalui pelbagai saluran rasmi termasuk media sosial.

“Sehubungan itu, jadual yang dikemaskini itu dirangka dengan mengambil kira pola perjalanan penumpang khususnya pada waktu puncak agar lebih praktikal dan mesra pengguna dalam membantu perancangan perjalanan harian mereka sepanjang tempoh pelaksanaan projek KVDT2.

“Ia melibatkan penutupan satu landasan di antara Seremban hingga Salak Selatan sepanjang 67 kilometer bagi membolehkan kerja-kerja infrastruktur dilaksanakan dengan selamat dan efisien,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, KTMB memaklumkan, sepanjang tempoh tersebut, operasi tren di laluan terlibat dijalankan menggunakan satu landasan sahaja dan perlu dikongsi antara perkhidmatan Komuter serta ETS.

KTMB berkata, keadaan itu menyebabkan beberapa pergerakan tren ETS turut dijadualkan melalui laluan tersebut pada waktu petang berikutan penutupan penuh landasan pada waktu malam bagi kerja-kerja naik taraf dijalankan dari pukul 9.30 malam hingga 5.30 pagi yang tidak membenarkan sebarang pergerakan tren berjadual.

“Justeru, penyelarasan operasi ini dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan kedua-dua perkhidmatan dapat dikekalkan secara selamat dan teratur sepanjang tempoh projek.

“Penambahbaikan ini hanya melibatkan pelarasan waktu operasi tren dengan mengekalkan lima perkhidmatan hari bekerja sedia ada pada waktu puncak, pagi dan petang,” jelasnya.

KTMB akan terus memantau pelaksanaan jadual ini dari semasa ke semasa bagi kemudahan para pengguna serta mengemaskini perkembangan kerja-kerja projek.

KTMB menasihatkan semua penumpang agar merancang perjalanan lebih awal serta menyemak jadual perjalanan terkini melalui MyRailtime di aplikasi KITS Style.

Penumpang juga digalakkan untuk mengikuti pengumuman di stesen serta hebahan melalui saluran media sosial rasmi KTMB.

KTMB amat menghargai segala maklum balas, kesabaran dan sokongan berterusan para penumpang sepanjang tempoh pelaksanaan kerja-kerja naik taraf ini dan kekal komited untuk terus menambah baik perkhidmatan dari semasa ke semasa.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Remaja 17 tahun maut Honda Wave terlibat kemalangan dengan lori

SEORANG remaja berusia 17 tahun maut selepas motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori...

More Articles Like This