MESYUARAT Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini memberi tumpuan kepada lima keutamaan dalam menguruskan krisis rantaian bekalan dan bahan mentah susulan konflik di Asia Barat.
Ia meliputi menstabilkan bekalan tenaga dan input kritikal, mengawal tekanan kos kepada rakyat, memastikan projek penting tidak terbengkalai, melindungi pekerjaan dan pendapatan keluarga serta memperkukuh daya tahan ekonomi jangka panjang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat turut meneliti pembentangan Khazanah mengenai implikasi krisis bekalan global, yang kini mengubah pertimbangan pelabur.
“Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk bertahan, namun saya tegaskan kekuatan ini mesti diterjemahkan kepada tindakan yang tersusun dan tegas.
“Dengan peranan GLC dan GLIC yang diperkasa, kerajaan akan memastikan negara kekal stabil, rakyat dilindungi dan kita berupaya bangkit dengan lebih berdaya tahan dalam mendepani cabaran ini,” katanya di media sosial, hari ini.
Pada masa sama, Anwar berkata, mesyuarat turut membincangkan secara terperinci usaha menguruskan kos sara hidup yang kian meruncing di seluruh dunia susulan konflik di Asia Barat.
“Kerajaan MADANI mengurus situasi ini secara berfasa berpandukan data, libat urus bersama industri serta tindakan segera di lapangan.
“Keutamaan kita bukan sekadar menstabilkan harga, tetapi memastikan bekalan asas kekal terjamin serta mengurangkan impak lonjakan kos mendadak kepada rakyat,” katanya lagi.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

