TIGA termasuk dua wanita maut selepas Perodua Myvi yang dinaiki bertembung sebuah bas ekspres di Kampung Sungai Sam dekat Kuala Krai, pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Pegawai Bomba Kanan II, Ahmad Idris Mohammed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar jam 11.18 pagi tadi.
Susulan itu, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai digegaskan ke lokasi kejadian.
“Sebaik pasukan tiba, terdapat dua wanita dan seorang lelaki tersepit di dalam Myvi.
“Anggota menggunakan ‘rescue power tool’ bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah ketiga-tiga mangsa itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak ambulans.
Sementara itu, pemandu bas cedera ringan manakala 45 penumpang bas ekspres terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Ketiga-tiga jenazah telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya lagi.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

