AHLI Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menegaskan tidak akan mengemukakan sebarang rayuan terhadap keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggantung keahliannya selama dua penggal.
Dalam kenyataan hari ini, Rosol mengesahkan telah menerima pemakluman mengenai penggantungan keahlian Bersatu melalui surat daripada Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan bertarikh 29 April.
Menurut Rosol, surat tersebut telah diterima menerusi aplikasi WhatsApp.
Beliau mengakui Bersatu telah banyak memberi peluang dan sumbangan dalam perjalanan politiknya.
Pada masa sama, Rosol merakamkan penghargaan serta terima kasih atas perkara tersebut.
“Bagaimanapun, kebelakangan ini saya melihat terdapat beberapa perkembangan dan tindakan dalam parti yang pada pandangan saya kurang selari dengan asas perjuangan serta tidak konsisten dalam pelaksanaannya.
“Saya juga menyuarakan pandangan bahawa semangat ‘Amar Makruf dan Nahi Mungkar’ yang menjadi asas perjuangan parti dilihat semakin terhakis dalam beberapa keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Rosol menegaskan, Lembaga Disiplin Bersatu memerlukan penambahbaikan daripada segi ketelusan serta pemisahan fungsi siasatan, pendakwaan dan keputusan agar lebih selari dengan prinsip keadilan parti.
“Ini berikutan lembaga disiplin dilihat semakin hilang kredibiliti kerana entiti yang sama menyiasat, membuat tuduhan, mendakwa dan menjatuhkan hukuman,” katanya.
Dalam tindakan terbaharu Lembaga Disiplin Bersatu minggu lalu, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kedah dipecat, manakala lima Ahli Parlimen dan dua lagi ADUN pula digantung keahlian, berkuat kuasa Jumaat lalu.
Mereka yang dipecat ialah ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani yang juga EXCO Kerajaan Kedah dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis yang juga Timbalan Speaker DUN negeri berkenaan.
Ahli Parlimen lain digantung adalah Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Ahmad Ismail (Lumut) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), selain dua ADUN dari Perak.
Tindakan sama turut diambil ke atas ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain dan ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

