POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat dakwaan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang disyaki telah pulang ke Malaysia pada hujung tahun lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan terhadap Jho Low masih diteruskan berdasarkan maklumat yang diterima termasuk perkembangan terkini.
“Isu ini kita pun tak dapatkan kepastian lagi, sejauh mana kebenarannya, jadi saya akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan bahawa perkara ini benar-benar berlaku ataupun tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian sambutan Hari Autisme Pusat Autisme Pengaman-PDRM, hari ini.
Terdahulu, sebuah portal berita mendakwa Jho Low menghadiri mesyuarat rahsia di negara ini pada hujung tahun lalu.
Laporan berkenaan turut mencetuskan spekulasi mengenai bagaimana Jho Low, yang diburu oleh PDRM masih gagal dikesan meskipun dilaporkan berada di Malaysia.

