BERSATU melahirkan rasa dukacita dengan Pas yang mengumumkan memberhentikan kerjasama politik dengan parti itu.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hal itu kerana kerjasama yang dibina bersama Pas atas semangat dan persefahaman yang luhur.
Katanya, keputusan menghentikan kerjasama politik dan memutuskan hubungan dengan Bersatu adalah atas kehendak Pas.
“Sebagai parti pengasas Perikatan Nasional (PN), Bersatu akan terus kekal dalam PN dan memperkukuhkan teras perjuangannya.
“Bersatu akan memperkasa agenda prihatin rakyat yang dibawa PN sejak penubuhannya serta mendokong hasrat rakyat yang mahukan perubahan serta kepimpinan yang mewakili aspirasi seluruh warga Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Muhyiddin berkata, ahli parti dan rakan seperjuangan harus fokus kepada usaha memperkukuhkan Perikatan Nasional.
Katanya, setiap lapisan pimpinan dan ahli mesti terus meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus utama malah lebih bersemangat dengan ujian terbaru ini.
Beliau juga yakin rakyat yang mendukung cita-cita PN akan terus istiqamah bersama-sama dengan PN.
“InsyaAllah, tentunya ada hikmah daripada apa yang berlaku,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

