40,000 dipindahkan, Kemaman daerah paling teruk terjejas

Dari Penulis

KUALA LUMPUR – Situasi banjir di pantai timur terutama di Kemaman, Terengganu semakin buruk malam tadi apabila air mula memenuhi bandar Chukai dengan lebih 10,000 orang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan di negeri itu.

Kebanyakan jalan di bandar itu juga mula ditutup kepada kenderaan ringan sejak 7 malam tadi dan peniaga mula memindahkan barang berikutan bimbang berlaku kenaikan air secara mendadak lewat malam ini jika hujan lebat.

Memetik Bernama.com, Selain Terengganu, negeri jirannya Kelantan juga mengalami situasi sama apabila jumlah mereka yang dipindahkan kini hampir mencecah 6,000 orang dengan bandar Kota Bharu dijangka dilanda banjir mulai tengah malam ini dan air Sungai Golok dilapor semakin meningkat.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk dengan hujan lebat dijangka berterusan di daerah Mersing dan Kota Tinggi, Johor. 

MetMalaysia dalam kenyataan pada 11.30 malam tadi memaklumkan amaran cuaca waspada dengan hujan lebat pula diramalkan berlaku di beberapa daerah di Sarawak iaitu Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah sehingga esok.

Keadaan sama juga dijangka berlaku sehingga 12 Januari di Pahang, Terengganu (Dungun dan Kemaman) dan Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru).

Di TERENGGANU, laporan terkini bencana banjir negeri Terengganu hingga 8 malam tadi merekodkan seramai 11,777 orang daripada 2,947 keluarga dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan dengan Kemaman mencatat bilangan paling ramai iaitu 10,103 orang melibatkan 2,469 keluarga.

Bandar Chukai, Kemaman yang dilanda banjir. / Gambar FB JPS Kemaman

Banjir di Terengganu kini melibatkan empat daerah iaitu Kemaman, Dungun (1,334 mangsa), Hulu Terengganu (228 mangsa), dan Besut (112 mangsa).

Di KELANTAN, lima jajahan di negeri itu kini terjejas banjir iaitu Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas dan Gua Musang.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 5,896 mangsa daripada 1,520 keluarga ditempatkan di 74 pusat pemindahan dengan Kuala Krai merupakan jajahan paling terjejas dengan 2,611 orang dipindahkan, Jeli (1,060 orang), Tanah Merah (488), Pasir Mas (896) dan Gua Musang (841).

Situasi berbeza di PAHANG, walaupun lebih 20,000 masih berada di pusat-pusat pemindahan, keadaan banjir di sembilan daerah yang terjejas teruk sejak Ahad lepas, kini beransur pulih dan malam ini jumlah mangsa di pusat-pusat pemindahan berkurangan kepada 22,292 orang daripada 6,068 keluarga berbanding lebih 23,000 orang petang tadi.

Jalan dari Kuantan menghala ke Kuala Lumpur masih terputus di LPT1 dan di beberapa lokasi di jalan lama.

Negeri-negeri lain yang turut terjejas banjir iaitu Johor dan Perak juga terus bertambah baik dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan semakin berkurangan, manakala keadaan di Beaufort, Sabah tidak berubah dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan kekal 35 orang.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

LRT3 nadi mobiliti dua juta penduduk koridor barat Lembah Klang

PERKHIDMATAN Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer memperkukuh jaringan rel di Petaling Jaya, Shah...

More Articles Like This